Sebahagian besar perkhidmatan Internet pada malam tadi tidak dapat diakses melibatkan perkhidmatan seperti Sony PlayStation Network, Steam dan laman-laman web seperti Airbnb.
Kejadian mula dikesan berlaku pada jam 11.20 malam apabila Downdetector telah mendapati terdapat lonjakan besar pada log laporan gangguan dari pelbagai perkhidmatan dalam talian dan laman web.
Selain dari PSN dan Steam, platform-platform popular lain yang mempunyai masalah untuk diakses termasuklah LastPass, TikTok dan UPS. Kesemua pengguna yang mengunjungi platform terbabit akan menerima notifikasi ralat DNS pada paparan.
Punca kepada masalah ini berlaku adalah disebabkan oleh gangguan pada perkhidmatan Edge DNS yang disediakan oleh Akamai. Tindakan pembaikan Edge DNS telah pun dilaksanakan oleh pihak Akamai dan kerja tersebut selesai sekitar jam 12.50 tengah malam tadi.
We have implemented a fix for this issue, and based on current observations, the service is resuming normal operations. We will continue to monitor to ensure that the impact has been fully mitigated.
— Akamai Technologies (@Akamai) July 22, 2021
Gangguan DNS bukanlah perkara yang luar biasa berlaku di dalam rangkaian internet. Cuma masalahnya jarang boleh menyebabkan sejumlah besar perkhidmatan internet tidak dapat diakses.
Kali terakhir gangguan DNS berskala besar berlaku pada 2016 apabila malware Mirai telah melancarkan serangan distributed denial of service terhadap salah satu penyedia DNS terbesar di Amerika Syarikat, Dyn.
Serangan tersebut telah mengakibatkan pengguna-pengguna di Amerika Syarikat dan Eropah tidak dapat mengakses Amazon, GitHub, PayPal dan Reddit hampir sehari suntuk.
Beberapa kumpulan penggodam seperti Anonymous dan New World Hackers mendakwa telah melakukan serangan ini. Namun, akhirnya individu sebenar yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut telah didakwa dan mengaku bersalah.













