Bagi pengguna yang merasakan komputer Windows 10 anda mengambil masa yang panjang untuk ditutup, terdapat kemungkinan hal ini disebabkan oleh masalah pepijat pada antara muka USB-C pada komputer terbabit. Kelewatan proses penutupan PC ini mengambil masa hingga seminit bergantung kepada versi Windows 10 yang dipasangkan.

Menurut sebuah artikel di dalam blog rasmi Microsoft, masalah ini berpunca dari pepijat yang terdapat pada Perisian Antaramuka Sistem Penyambungan USB-C (USB-C Connector System Software Interface, UCSI) Windows 10 versi 1809. Masalah pepijat ini bukan sahaja menyebabkan kelewatan dalam proses penutupan, malah turut memberika kesan terhadap proses ‘sleep’ sesebuah komputer yang terkesan tersebut.

Pepijat ini bagaimanapun tidak memberikan kesan terhadap aspek-aspek lain dalam prestasi keseluruhan komputer yang terlibat. Tambahan pula, Microsoft telah cakna mengenai isu ini dan mengambil langkah pembaikan melalui Kemaskini 1903 yang juga dikenali sebagai Kemaskini Mei 2019.

Bagi anda yang masih belum mengemaskini PC Windows 10 anda, ini merupakan masa yang sesuai untuk mengemaskini PC anda bagi meningkatkan keupayaannya selain dari memberikan nilai tambah terhadap sistem komputer anda.

Sumber berita diperoleh dari Microsoft

Tinggalkan komentar