iOS 9 dilaporkan mempunyai masalah pepijat yang mengakibatkan para penggunanya tidak boleh menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu yang menggunakan pelan data rangkaian selular.
Sebagaimana yang ada pada iOS versi yang terdahulu, iOS 9 membenarkan pengguna untuk mematikan penggunaan data selular khusus untuk aplikasi-aplikasi tertentu yang dipilih oleh pengguna melalui tetapan Settings > Cellular > Use Cellular Data For. Masalahnya, untuk iOS 9 ini fungsi menggunakan data rangkaian selular akan kekal tidak dihidupkan sebaik sahaja ianya dimatikan oleh pengguna sebagaimana yang dilaporkan oleh Wayne Williams di Beta News.
Wayne Williams melaporkan Isnin baru-baru ini bahawa beliau tidak dapat menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu apabila peranti berkenaan sedang menggunakan data internet melalui rangkaian selular. Walaupun beliau berulangkali cuba menghidupkannya semula melalui tetapan, namun ianya akan kembali dimatikan sebaik sahaja beliau keluar dari halaman tetapan pada peranti beliau.
Bagaimanapun, aplikasi-aplikasi yang terlibat boleh digunakan seperti biasa melalui sambungan internet secara Wi-Fi.
Masalah berkenaan dilihat timbul pada peranti-peranti yang dinaiktaraf dari iOS 8 ke iOS 9. Menurut Wayne Williams lagi, masalah pepijat ini juga boleh wujud berdasarkan tetapan yang telah dibuat pada iOS 8 sebelum peranti berkenaan dinaiktaraf ke iOS 9. Jika tetapan penggunaan data rangkaian selular untuk aplikasi telah dimatikan pada iOS 8, maka tetapan tersebut terus kekal dimatikan pada iOS 9 walaupun pengguna cuba untuk menghidupkannya semula.
iOS 9 dilancarkan oleh Apple lebih kurang 2 minggu lalu dan ianya sudah digunakan pada lebih dari 50 peratus peranti-peranti yang menggunakan sistem operasi iOS. Menjelang kehadiran iPhone 6s dan 6s Plus pada Jumaat ini, jumlah pengguna iOS 9 di seluruh dunia dijangka terus meningkat lagi.
Masalah pepijat yang berlaku pada sistem-sistem operasi yang baru bukanlah perkara yang luar biasa. Sebelum ini iOS 8 turut sama mengalami pelbagai masalah ketika di peringkat awal pelancarannya. Antara masalah yang timbul pada peringkat awal iOS 9 adalah seperti kelajuan Wi-Fi yang terlalu perlahan dan kuat makan bateri.
-Sumber berita diperoleh dari Beta News













