Masalah kekurangan bekalan cip dan pandemik COVID-19 telah menyebabkan krisis di dalam dunia perkomputeran. Hal ini juga telah membawa kepada peningkatan aktiviti penyeludupan komponen PC di China.

Terbaru, seorang pemandu lori dan kelindannya telah ditahan ketika cuba menyeludup sejumlah CPU ke Hong Kong melalui Jambatan Macau. Ketika ditahan, suspek telah membalut komponen berkenaan pada badannya.

Menurut laporan, pemandu dan rakan subahatnya telah ditahan oleh pihak berkuasa kastam Hong Kong selepas mendapati sebanyak 256 CPU berjenama Intel telah dibalut pada tubuhnya menggunakan plastik pembalut makanan. CPU yang dirampas terdiri daripada jenis  Core i7-10700 dan Core i9-10900K yang bernilai US$ 123,000 (~RM 515,431).

Insiden ini bukanlah kali pertama berlaku kerana pada minggu lalu satu lagi cubaan menyeludup telah berjaya dipatahkan. Dalam kejadian tersebut, pihak kastam telah menemukan sejumlah 52 CPU Intel disorok di bawah tempat duduk pemandu dan penumpang.

Malah, pada awal minggu ini, kastam Hong Kong juga telah menemukan sejumlah 2,200 CPU dan 1000 modul RAM disorok di dalam kontena sebuah lori. Turut ditemui, ratusan telefon pintar dan barangan kosmetik bernilai US$ 4 juta (~RM 16.8 juta).

Tinggalkan komentar