Rangkaian 5G di Malaysia disasar akan sedia dilancarkan kepada pengguna-pengguna talian mudah alih sekitar penghujung 2021. Buat masa ini, rangkaian-rangkaian 3G di seluruh negara sudah mula ditamatkan sedikit demi sedikit.
Bagaimanapun, pengguna 3G masih lagi agak ramai terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Berdasarkan analisis terkini dari OpenSignal, majoriti pengguna dari kategori ini adalah disebabkan tidak mempunyai langganan 4G.
Apa yang menghairankan, 81.9% pengguna ini memiliki telefon pintar 4G dan tinggal di kawasan liputan 4G, didapati pengguna ini sama ada tidak mempunyai kad SIM 4G, tidak menaik taraf atau mematikan 4G pada telefon masing-masing.
Turut didapati, 5.6% dari pengguna yang hanya menggunakan 3G ini mempunyai peranti 4G, tetapi sering berada di kawasan yang tiada liputan 4G. Manakala 0.5% daripadanya pula tidak memiliki peranti 4G dan juga tidak berada di dalam kawasan liputan 4G, seterusnya menjadikan keseluruhan pengguna 3G di luar liputan 4G di Malaysia sebanyak 6.1% sahaja.
Dari 81.9% pengguna 3G sahaja tersebut, 12% daripadanya tidak memiliki telefon 4G. Menurut OpenSignal, antara sebabnya adalah kemungkinan pengguna tersebut tidak menaik taraf telefon 3G yang digunakan disebabkan kos, atau tiada pelan langganan 4G pada harga berpatutan. OpenSignal juga tidak menolak kemungkinan kurang kesedaran terhadap manfaat 4G memungkinkan pengguna ini masih lagi kekal menggunakan 3G.













