Kuala Lumpur, 14 Oktober 2025 – OpusSoft, pembangun sistem pengurusan jurnal atas talian pertama di Malaysia, melancarkan versi terbaharunya, OpusSoft 3.0. Dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) dan automasi, versi terkini OpusSoft memberikan penyelesaian lengkap untuk penerbitan jurnal, daripada penyerahan untuk penilaian semula (“peer review”) hingga kepada penerbitan akhir.
OpusSoft v3.0 memperkenalkan empat penambahbaikan utama yang direka untuk menangani cabaran penting dalam aliran kerja penerbitan penyelidikan, yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing global jurnal Malaysia.
Galley Proof: Versi terbaharu menawarkan Galley Proof, ciri yang mengautomasikan pemformatan khusus jurnal dalam masa kurang daripada 10 saat, menggantikan proses yang secara tradisinya ambil masa berhari-hari atau minggu, dengan output yang pantas, konsisten dan bebas ralat.
Reviewer Recommendation Engine berkuasa AI: Pasukan editorial sentiasa mencari penilai berkaliber untuk jurnal mereka. Untuk itu, OpusSoft perkenalkan ciri ini untuk bantu mengenal pasti penilai berpotensi tinggi dalam rangkaian sosial penulis, berdasarkan kepakaran penyelidikan, petikan, impak dan sejarah kerjasama. OpusSoft juga disepadukan dengan Web of Science Reviewer Locator.
Integrasi dengan Crossref: Digital Object Identifier (DOI) sudah tersedia dalam versi terbaharu OpusSoft ini, melalui integrasi dengan Crossref, agensi pendaftaran DOI yang terkenal di peringkat global untuk kandungan ilmiah dan profesional. Ini membolehkan editor mengurus keseluruhan proses pendaftaran dan mendapatkan DOI dalam masa kurang daripada lima minit, menjimatkan masa dan mengurangkan ralat.
Penerbitan Web: Sementara itu, penambahbaikan transformatif keempat ialah ciri Penerbitan Webnya, yang membolehkan kertas kerja dengan DOI diterbitkan terus ke laman web jurnal dengan sekali menekan butang sahaja. Ia juga membantu menghasilkan versi cetak yang tersedia untuk dimuat turun dan diedarkan.
Ramesh Balakrishnan, Ketua Pegawai Eksekutif OpusSoft, berkata, “Penerbit jurnal biasanya berusaha untuk mengimbangi masa menyiapkan penerbitan yang pantas dengan kualiti yang konsisten. Platform OpusSoft kami yang dipertingkatkan, dikuasakan oleh AI dan automasi, menyelaraskan keseluruhan aliran kerja penerbitan jurnal. Ini meningkatkan kecekapan dan meningkatkan produktiviti pasukan editorial jurnal.”
Pengguna OpusSoft termasuklah Malaysian Journal of Microbiology (MJM), Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences (MJMHS-UPM), Asia-Pacific Journal of Molecular Biology and Biotechnology (APJMBB), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, dan Tropical Biomedicine.
“Kami sedang melakukan kerja-kerja asas untuk semakan “peer review” dengan bantuan AI, bermula dengan automasi prasaringan manuskrip untuk mengenal pasti kesesuaian, penjajaran skop dan isu kualiti yang berpotensi dengan lebih cekap,” jelas Ramesh.
Sebagai perintis dalam sistem pengurusan jurnal berasaskan perisian sebagai perkhidmatan atau SaaS, platform ini bersedia mentransformasi industri penerbitan negara di samping meningkatkan keterlihatan global dan impak penyelidikannya, dengan membantu jurnal dalam memenuhi keperluan pengindeksan antarabangsa dengan lebih mudah.
“Kami berhasrat untuk menjadikan penerbitan penyelidikan Malaysia sebagai penanda aras untuk kecekapan dan inovasi,” ujar Ramesh.
Pada tahun 2024, OpusSoft menerima geran daripada Cradle Fund (sebuah agensi kerajaan Malaysia di bawah MOSTI), yang membantu menyokong peningkatan produk dan usaha pemasarannya.
Syarikat itu sedang bersiap sedia untuk pengembangan serantau di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh 12 bulan akan datang, memperkenalkan keupayaan berbilang bahasa dan penyesuaian yang sangat boleh dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai.













