Kuala Lumpur, 1 Mac 2023 – Pameran teknologi tempatan yang menunjukkan bagaimana Sarawak dapat meraih manfaat daripada ketersediaan 5G kini sedang berlangsung di acara kesalinghubungan global yang terbesar dan paling berpengaruh iaitu  Mobile World Congress Barcelona 2023.

Semasa berkunjung ke reruai Ericsson, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berpeluang melihat bagaimana kejayaan di Sarawak kini menjadi sebahagian daripada pameran global berhubung dengan kes penggunaan 5G.

Ketika berada di sana, Datuk Julaihi Narawi dapat melihat dan mempelajari dengan lebih mendalam penyelesaian teknologi termaju yang digunakan dalam rangkaian 5G Digital Nasional Berhad oleh Ericsson.  Menteri juga diberi taklimat tentang bagaimana 5G dapat memainkan peranan dalam pembangunan Sarawak dan pendigitalan ekonomi.

Dianjurkan oleh Ericsson dan DNB, pameran Sarawak baru-baru ini (18 Februari) menampilkan syarahan kuliah yang disampaikan dengan jayanya oleh seorang pensyarah kanan, Dr Syafiqah Saidin, yang berada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur kepada satu kumpulan pelajar di Curtin University yang terletak sejauh kira-kira 1,400km di Miri.

Walaupun Dr. Syafiqah pada masa itu berada di dalam UTM-Ericsson IC5G (Pusat Inovasi bagi 5G), pensyarah dan para pelajar dapat berinteraksi antara satu sama lain seolah-olah mereka berada di persekitaran fizikal yang sama tanpa kelewatan yang ketara, dan menggunakan headset (peranti audio) AR/VR untuk meraih pengalaman kuliah yang berkualiti tinggi, masa nyata dan interaktif dalam sebuah Metaverse (alam semesta maya) yang dibina khas.

Pertunjukan tersebut direalisasikan dengan menggunakan kesalinghubungan yang sangat laju, selamat dan berdaya harap yang disokong oleh rangkaian 5G Standalone Ericsson, menggunakan Pengaggregetan Pembawa (Carrier Aggregation) dan teknologi Pemotongan Rangkaian (Network Slicing).

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata pameran Sarawak yang diadakan di MWC menunjukkan bahawa 5G berupaya menggerakkan transformasi digital merentas semua industri selain merapatkan jurang digital. Pameran ini merupakan acara yang bermanfaat Malaysia dan juga kawasan lain di dunia memandangkan pameran ini memperlihatkan nilai 5G dalam senario pendidikan dunia sebenar.

“Rangkaian 5G bertaraf dunia yang sedang dilaksanakan oleh Ericsson membuka peluang yang besar kepada Sarawak dan kawasan lain di Malaysia. 5G akan membolehkan kesalinghubungan untuk sekolah, hospital dan perniagaan yang terletak di kawasan yang sebelum ini kurang diberikan perhatian, sekali gus mentransformasikan pendidikan, penjagaan kesihatan dan ekonomi tempatan. Rangkaian 5G bakal merapatkan jurang digital dan pada masa yang sama memacu transformasi dan keupayaan digital Malaysia untuk melonjak ke hadapan di rantau ini,” jelas Hägerbro.

Pameran pendidikan Sarawak sedang berlangsung di MWC mulai 27 Februari hingga 2 Mac, 2023 di Ericsson Hall.

Tinggalkan komentar