Program Jaringan Prihatin yang menawarkan subsidi RM180 bagi pembelian telefon baharu atau kredit telco telah disemak semula di bawah pelan PEMERKASA baharu.
Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Jaringan Prihatin telah disemak semula dengan menawarkan subsidi RM300 bagi pembelian telefon pintar baharu. Ianya ditawarkan kepada isi rumah yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Program subsidi telefon ini telah memperuntukkan sebanyak RM2 billion dengan penambahan sebanyak RM500 juta dari nilai asalnya iaitu RM1.5 billion ketika diumumkan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021. Program ini bakal memanfaatkan sehingga 6.66 juta penduduk.
Perdana Menteri turut menggesa penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menawarkan pelan data yang lebih mampu milik dengan penambahan kuota data. Program Jaringan Prihatin pada asalnya dijadualkan bermula pada bulan ini, namun dengan pengumuman terkini ini ianya akan bermula pada Mei nanti.