Kemaskini 3 September 2022: Pelajar tidak perlu pulangkan kembali tablet Perantisiswa. Boleh ambil terus Samsung Galaxy Tab A8 yang telah diterima.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini telah memberikan penerangan yang lebih terperinci mengenai program PerantiSiswa Keluarga Malaysia. Antaranya, pelajar-pelajar yang terpilih perlu memulangkan semula tablet berkenaan sewaktu pengajian tamat.
Menurut beliau, tablet-tablet berkenaan perlu dipulangkan ke institusi pengajian masing-masing kerana peranti berkenaan adalah hak kerajaan. Para pelajar juga diingatkan supaya tidak menghilangkan atau menjual peranti tersebut kepada mana-mana pihak.
Tablet-tablet berkenaan akan hadir dengan waranti jika berlaku sebarang kerosakan dan para pelajar hanya perlu memulangkan semula untuk mendapatkan unit yang baharu.
Beliau turut menyatakan tablet-tablet yang disediakan ini akan diperoleh dari jenama-jenama yang terkemuka. Walaubagaimanapun, beliau masih belum menyatakan jenama yang dimaksudkan tersebut.
Seperti yang saya maklumkan foto di tweet saya hanyalah sekadar hiasan. Proses perolehan secara tender terbuka untuk Program Peranti Siswa masih berjalan. KKMM komited untuk menyediakan peranti yang berkualiti dan daripada jenama yang diyakini pengguna. https://t.co/Md2JYjYxZc
— Annuar Musa (@AnnuarMusa) April 5, 2022
Pengumuman program PerantiSiswa ini pertama kali diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul ketika sesi pembentangan Bajet 2022 di Parlimen Oktober lalu.
Bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara,
Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan melaksanakan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi.
Dalam pada masa yang sama, Tan Sri Annuar Musa turut memaklumkan pendaftaran PerantiSiswa akan mula dibuka pada 15 April ini menerusi laman web Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Perincian lebih lanjut mengenainya akan diumumkan pada tarikh berkenaan.
Beliau juga menyatakan kelompok pertama agihan tablet ini akan melibatkan sekitar 60% dari 400,000 pelajar yang layak. Kumpulan ini dijangka akan menerima peranti ini sekitar minggu kedua Jun 2022.













