Selain dari Asus, ASRock turut sama menjadi sebahagian dari para pengeluar papan induk yang turut serta mengeluarkan papan induk berchipset AMD B450.
Maklumat berkenaan disampaikan oleh pihak ASRock melalui halaman rasmi Facebook syarikat pengeluar papan induk berkenaan.
Untuk permulaan, ASRock menawarkan tiga model terbaru yang berasaskan chipset B450, iaitu B450 Pro4, B450M Pro4 dan Fatal1ty B450 Gaming K4.
Papan induk model B450 Pro4 dan B450M Pro4 secara amnya merupakan papan induk yang hampir sama. Ia dibezakan pada saiz yang mana B450M lebih kecil kerana ianya adalah papan induk mikroATX.
Oleh kerana perbezaan saiz ini, B450 Pro4 didatangkan dengan dua slot PCIe 3.0 x16. Manakala slot pada B450M Pro4 terbahagi dua di antara satu slot PCIe 3.0 dan satu slot PCIE 2.0.
Sungguhpun kedua-dua papan induk ini hadir dengan labuhan HDMI dan VGA (D-Sub), papan induk yang lebih besar saiznya, B450 Pro4 menawarkan DisplayPort 1.2. Manakala papan induk yang kecil sedikit saiznya hanya ditawarkan dengan labuhan DVI-D.
Fatal1ty B450 Gaming K4 merupakan model papan induk yang paling berkuasa jika dibandingkan dengan ketiga-tiga papan induk terbaru ini. Oleh yang demikian, spesifikasinya adalah setara dengan apa yang para gamers harapkan pada sesebuah papan induk gaming.
Dari segi harga,ASRock B450 Pro4 B450M Pro4 boleh didapati dengan harga masing-masing RM399 dan RM339. Bagi Fatal1ty B450 Gaming K4 pula, harganya adalah pada RM439.
Sumber berita diperoleh ASRock













