Hari ini OpenSignal telah menerbitkan laporan terkini mengenai keadaan semasa rangkaian internet di Malaysia. Maklumat yang dikumpulkan untuk laporan berkenaan telah diambil bermula dari 1 Ogos sehingga 29 Oktober 2020.

Berdasarkan laporan tersebut, kelajuan purata internet 4G di Malaysia pada ketika ini hanya sekitar 12.7Mbps. Angka ini lebih rendah jika dibandingkan dengan 25Mbps yang dicatatkan oleh National Digital Infrastructure Lab (NDIL) pada September lalu.

Turut diketengahkan menerusi laporan ini adalah kadar capaian 4G di kalangan pengguna-pengguna Malaysia. Secara purata, pengguna di Malaysia boleh menyambung ke rangkaian 4G pada kadar 86%. Bagaimanapun, kadar ini lebih rendah bagi pengguna-pengguna di Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhannya, laporan ini sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran awal keadaan internet mudah alih semasa menjelang pelaksanaan Fasa 1 JENDELA.

Program JENDELA merupakan projek prasarana rangkaian berskala besar di seluruh negara yang mensasarkan memperluaskan liputan dan meningkatkan kualiti rangkaian 4G di Malaysia. Berikutnya, Fasa 2 JENDELA akan meneruskan pada peringkat pelaksanaan rangkaian 5G seluruh negara sekitar 2022 atau 2023.

Tinggalkan komentar