OnePlus baru-baru ini telah melancarkan OnePlus 9 dan OnePlus 9 Pro. Sungguhpun baru sahaja dilancarkan, maklumat mengenainya sudah lama tertiris di ruangan maya.

OnePlus 9 Pro menyediakan paparan AMOLED QHD+ LTPO 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ianya juga dilengkapkan dengan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB.

Manakala bagi model standard pula, ia menyediakan paparan AMOLED HD Penuh 6.55-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Penawaran RAM dan storannya adalah sama dengan apa yang ditawarkan oleh model Pro.

Salah satu tarikan utama siri OnePlus 9 adalah modul kamera di belakangnya yang dibangunkan bersama-sama Hasselblad. Untuk model standard OnePlus 9, kamera utamanya dilengkapkan dengan sebuah kamera 48MP Sony IMX689 dan digandingkan dengan kamera ultra-lebar Sony IMX766 dan kamera monokrom 2MP.

Bagi model Pro, kamera ultra lebar 50MP dan monokrom 2MP adalah sama, namun dibezakan pada kamera utamanya digantikan dengan 48MP Sony IMX789. Selain itu, ianya turut ditambahkan dengan sebuah lagi kamera, telefoto 8MP. Kedua-dua model menyediakan sebuah kamera swafoto 16MP Sony IMX471.OnePlus 9

Kapasiti bateri yang ditawarkan bagi kedua-dua model ini juga adalah sama iaitu 4,500mAh. Ia menyokong pengecasan pantas Warp Charge 65T yang membolehkan baterinya dicaskan dari sifar ke 100% dalam tempoh 30 minit. Bagi pengecasan nirwayar, penarafan kuasa untuk OnePlus 9 standard adalah sehingga 15W. Manakala bagi OnePlus 9 Pro, had penarafan kuasanya adalah sehingga 50W.OnePlus 9 and 9 Pro

Buat masa ini OnePlus masih lagi belum mendedahkan tarikh kemasukan dan harga bagi pasaran Malaysia.

Harga untuk OnePlus 9 standard dengan 8GB dan storan 128GB di jual di pasaran Eropah pada harga EUR 699 (~RM 3,418). Manakala untuk pilihan 12GB/256GB pula harganya adalah EUR 799 (~RM 3,908). Bagi OnePlus 9 Pro dengan 8GB/128GB dan 12GB/256GB masing-masing ditetapkan pada harga EUR 899 (~RM 4,397) dan EUR 999 (~RM 4,886).

Tinggalkan komentar