Sesetengah dari kita sering kali sorok-sorok bermain permainan komputer seperti Minesweeper ketika berada di dalam kelas komputer di sekolah dahulu. Namun, lain halnya bagi pelajar-pelajar di sebuah sekolah di Norway. Mereka bukan sahaja dibenarkan untuk bermain permainan komputer, malah dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran elektif yang mempunyai peperiksaannya.
Garnes Vidaregåande Skole, sebuah sekolah di bandar Bergen, Norway akan menjadikan sukan elektronik sebagai subjek bermula pada bulan Ogos ini. Lebih kurang 30 orang pelajar dijangka akan menduduki kelas ini dengan waktu pembelajaran 5 jam seminggu sepanjang 3 tahun.
Pelajar-pelajar yang menduduki kelas sukan elektronik bukan sahaja diwajibkan mempelajari permainan komputer sekurang-kurangnya 5 jam seminggu, pelajar turut dikehendaki menjalani latihan fizikal termasuk 90 minit latihan kecergasan untuk meningkatkan daya kekuatan, refleksi dan ketahanan.
Dalam satu temubual bersama Dotablast, Dekan Jabatan Sains sekolah berkenaan, Petter Grahl Johnstad, memaklumkan bahawa pelajar-pelajar akan dinilai dari sudut pengetahuan dan kemahiran permainan komputer satu-satu jenis permainan. Para pelajar juga turut dinilai dari sudut kemahiran taktikal, kerjasama berpasukan dan juga kemahiran komunikasi sesama rakan sepasukan.
Sebuah bilik khas turut disediakan bagi memenuhi tuntutan pendidikan sukan elektronik di sekolah berkenaan dengan kelengkapan seperti komputer peribadi yang dikuasakan oleh kad grafik Nvidia GeForce GTX 980Ti dan perabot khusus untuk pemain game.
Antara judul permainan yang menjadi sebahagian dari sukatan mata pelajaran tahun pertama adalah Dota 2, League of Legends, Counter-Strike: Global Offensive, dan Starcraft II.













