Pihak berkuasa Norway baru-baru ini telah mengesahkan salah sebuah empangannya telah menjadi sasaran penggodam. Kumpulan yang dipercayai pro Russia tersebut telah mengakses empangan Bremanger secara jarak jauh pada April lalu dan membuka salah sebuah injap.
Tindakan tersebut menyebabkan empangan Bremanger melepaskan air sebanyak 132 gelen per saat. Memburukkan lagi keadaan, ia berlaku selama empat jam sebelum dikesan oleh pihak berkuasa untuk menghentikannya. Kesannya, sejumlah dua juta gelen air telah dilepaskan akibat insiden itu. Namun, tiada sebarang kerosakan dan kemalangan jiwa dilaporkan.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, kami mendapati terdapat perubahan dalam aktiviti dari kumpulan pelaku siber pro Russia,” menurut Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Polis (Politiets sikkerhetstjeneste, PST) Norway Beate Gangaas dalam satu kenyataan. “Tujuan serangan jenis ini adalah untuk mempengaruhi dan menimbulkan ketakutan dan kekacauan di kalangan penduduk,” ujar beliau. “Jiran kita Russia telah menjadi semakin merbahaya.”
Norway bukanlah satu-satunya mangsa serangan siber tersebut. Pegawai-pegawai perisikan Barat telah memberikan amaran serangan yang didakwa dari Russia menjadi semakin semberono. Ia merangkumi kerosakan dan vandalisme infrastruktur hinggalah cubaan membunuh dan serangan siber yang bermula sejak dari serangan penaklukan terhadap Ukraine pada 2022.
Russia menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan ia sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik berdasarkan kenyataan yang diemelkan kepada Reuters.













