Bitdefender, Check Point, Emsisoft dan Trend Micro kini menyertai skim No More Ransom, menjadikan peluang untuk mangsa-mangsa ransomware memulihkan kembali data-data yang ‘diculik’ tanpa perlu membayar sesen pun kepada penjenayah menjadi lebih cerah.
Skim yang membolehkan para mangsa untuk melakukan dekripsi fail-fail secara percuma kini menawarkan lebih banyak decryption tool berikutan penyertaan lebih ramai rakan kongsi dalam memerangi jenayah siber ini.
Ditubuhkan oleh Europol, Polis Kebangsaan Belanda, Intel Security dan Karspersky Lab pada Julai lalu, inisiatif No More Ransom menyediakan kekunci untuk membuka fail-fail yang telah dienkripkan berserta panduan bagi mencegah penularan malware sebegini.
Pada asalnya, hanya empat sahaja tool yang ditawarkan. Antaranya, termasuk CryptXXX. Untuk tempoh dua bulan pertama sahaja, No More Ransom telah berjaya membantu 2,500 individu mendapatkan kembali data masing-masing serta menyelamatkan kos lebih dari €1.35 Euro dari dibayar kepada penjenayah.
Sehingga kini, skim ini telah membantu sehingga hampir 6,000 individu mendapatkan kembali data-data dari ransomware terbaru termasuklah dari kalangan MarsJoke, Teslacrypt dan Wildfire.
Bahasa pada tool-tool ini juga telah dikembangkan dari hanya Bahasa Inggeris sahaja kepada bahasa-bahasa seperti Belanda, Perancis, Itali, Portugis dan Russia bagi memudahkan lebih ramai individu dari seluruh dunia memanfaatkan kemudahan skim.
Sokongan yang diterima untuk skim ini tidak terhad pada negara-negara di Eropah sahaja. Malah, pihak polis Singapura turut bekerjasama di dalam hal ini, menjadikan jumlah negara-negara yang terlibat sebanyak 22 buah.
Layari pautan ini bagi mendapatkan Decryption Tools













