Motorola Razr sebelum ini dikatakan akan dilancarkan sekitar bulan Disember ini hingga Januari 2020. Bagaimanapun, telefon pintar berkenaan akan dilancarkan pada tarikh sebulan lebih awal dari yang dijangkakan.
CNET melaporkan syarikat subsidiari Lenovo ini telah menghantar jemputan ke majlis pelancaran telefon pintar berkenaan pada 13 November.
Berdasarkan jemputan berkenaan, acara tersebut dikatakan akan menampilkan pendedahan “ikon yang direka semula”. Turut disertakan imej berformat GIF yang memaparkan bayangan peranti berkenaan.
Motorola sebelum ini pernah membuat permohonan paten untuk peranti boleh lipat sejak dari Ogos tahun lepas. Versi pertama yang dihantar lebih kepada gambaran kasar yang memaparkan telefon dengan paparan yang boleh lipat.
Satu lagi versi pada Januari tahun ini pula menunjukkan bahagian bawah berikonik Razr. Kedua-dua paten berkenaan menunjukkan peranti berkenaan hadir dengan bentuk faktor telefon pintar biasa sebaik ianya dibuka.
Laporan awal menyatakan Motoroal Razr terbaru ini adalah peranti peringkat pertengahan. Spesifikasi ini menjangkakan antara yang dimuatkan termasuklah Qualcomm Snapdragon 710, RAM 6GB, storan dalaman 128GB dan bateri 2730mAh.
Sumber berita diperoleh dari CNET