Microsoft telah mengumumkan tablet Surface Pro 8 kini boleh di dapati di Malaysia bermula sejak 15 Februari baru-baru ini. Dalam pada masa yang sama, Microsoft turut memperkenalkan notebook boleh ubahnya (convertible) Surface Laptop Studio ke pasaran tempatan Mac ini.

Surface Pro 8 dilengkapkan dengan paparan sesentuh PixelSense 13-inci dengan kadar penyegaran semula dinamik sehingga 120Hz. Ia juga dilengkapkan dengan Dolby Vision dan Adaptive Color Technology.

Tablet ini dikuasakan oleh pemprosesan Intel Core Gen Ke-11 yang dibina di atas platform Intel Evo, bersama-sama RAM sehingga 16GB dan kapasiti storan SSD sehingga 512GB. Menurut Microsoft, tablet ini mampu digunakan sehingga 16 jam untuk sekali cas.

Selain kamera hadapan 5MP dan kamera belakang 10MP, Microsoft Surface Pro 8 turut menyediakan pembesar suara yang diperkasakan Dolby Atmos, Studio Mics dwi medan-lebar (far-field), dan dua port Thunderbolt 4 USB-C. Turut disediakan, sokongan aksesori seperti Microsoft Signature Keyboard dan Slim Pen 2 yang dijual secara berasingan.

Microsoft Surface Laptop Studio

Seterusnya, Surface Laptop Studio diperkenalkan oleh Microsoft sebagai peranti Surface paling berkuasa setakat ini. Menampilkan paparan sesentuh PixelSense Flow 14.4-inci dengan resolusi natif 2400 x 1600 piksel, kadar penyegaran semula 120Hz dan sokongan Dolby Vision. Sebagai peranti boleh ubah (convertible), laptop/tablet ini boleh digunakan dalam tiga mod dengan memanfaatkan Dynamic Woven Hinge.

Pada peranti ini disediakan pembesar suara Quad Omnisonic dengan sokongan Dolby Atmos, integrasi Surface Slim Pen 2 yang boleh disimpan di bawah papan kekunci, dan dua port USB 4.0 dengan Thunderbolt 4. Juga disediakan sebuah bateri 58Wj, menjadikan peranti ini mampu digunakan untuk selama 19 jam.

Surface Laptop Studio menggunakan pemprosesan Intel Core i7 Gen Ke-11 dengan pilihan grafik sama ada Intel Iris Xe Graphics atau NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti. Dari segi memori dan storannya, laptop ini hadir dengan pilihan RAM sehingga 32GB, dan sehingga 1TB SSD.

Microsoft Surface Pro 8 dijual di pasaran Malaysia pada harga RM4,950 dan boleh didapati menerusi Maxis, dan wakil jualan yang sah seperti All ITGlooHarvey NormanLazadaPC ImageSenhengShopee, dan TMT by Thundermatch. Manakala Surface Laptop Studio pula dijangka hadir ke Malaysia pada 8 Mac 2022 dengan pra-tempahan kini telah mula dibuka. Harga jualan bagi peranti mercu ini ditawarkan bermula dari RM 7,399.

Eksklusif di seluruh outlet Harvey Norman, Surface Pro 8 dengan konfigurasi pemprosesan Intel Evo Core i5 / 16GB / 256GB dan Surface Laptop Studio dengan Intel Core i5 / 32GB / 1TB dijual pada harga masing-masing RM 6,490 dan RM 11,999.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Microsoft: https://blogs.windows.com/devices/2021/09/22/introducing-new-surface-products-built-for-windows-11/

Tinggalkan komentar