Laporan mengenai kemaskini Windows 11, KB5063878 dan KB5062660 yang menyebabkan kerosakan storan SSD telah tersebar di arena web. Isu tersebut dilihat mempunyai kaitan dengan storan yang menggunakan pengawal (controller) Phison.
Dakwaan berkenaan telah pun diambil maklum oleh pihak Phison pada 18 Ogos 2025, tidak lama selepas masalah tersebut mula tular di media sosial. Pihak syarikat kemudian menjalankan siasatan dalaman untuk menentukan kesahihannya.
Di dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Ogos, Phison memaklumkan pihaknya telah menjalankan lebih 2,200 ujian yang mengambil masa lebih dari 4,500 jam. Namun tidak dapat menemukan masalah seperti yang dilaporkan selain tiada aduan mengenai isu tersebut diterima sepanjang tempoh ujian dilakukan.
Microsoft juga menjalan siasatan dalamannya sendiri berikutan laporan-laporan berkenaan. Menurut Microsoft, ujian yang dilakukan mendapati tiada sebarang kaitan di antara kemaskini Windows August 2025 dan kerosakan SSD yang dilaporkan.
Bleeping Computer melaporkan Microsoft menyatakan pihaknya tidak menemukan sebarang kaitan di antara kemaskini keselamatan tersebut dan jenis kerosakan storan yang dilaporkan. Microsoft juga memastikan akan terus memantau maklumbalas selepas setiap kemaskini Windows yang diterbitkan dan akan menyiasat sebarang laporan di masa akan datang.
Walaupun insiden ini mendatangkan kegusaran, jumlah aduan yang diterima berkaitan masalah ini dikirakan sebagai agak kecil. Laporan awal hadir dari seorang pengguna di Jepun di X yang mendakwa SSD miliknya rosak selepas memasang kemaskini Windows terkini. Beberapa pengguna di platform yang sama turut menyatakan mempunyai masalah yang sama.
Namun kekurangan bukti menunjukkan masalah tersebut tidak begitu meluas. Sebilangan pemerhati industri berpendapat kerosakan ini disebabkan oleh masalah kelompok storan ketika proses pengeluaran atau konfigurasi perkakasan tertentu dan bukannya disebabkan oleh Windows.