Nokia sehingga kini masih lagi di bawah Microsoft walaupun perjanjian pemindahan pemilikan kepada HMD Global dan FIH Mobile masih dalam prosesnya. Oleh itu, pengeluaran Nokia 216 secara teknikalnya masih lagi dibawah naungan Microsoft.

Dioperasikan oleh sistem operasi Nokia Series 30+, tarikan utama Nokia 216 adalah kamera VGA hadapannya dilengkapi dengan flash LED. Sesuatu yang menarik mengikut kategori dan harga telefon ini ditawarkan. Tidak lupa juga, kamera VGA pada bahagian belakangnya juga dilengkapi dengan flash LED.

Telefon ini menampilkan paparan berwarna 2.4 inci QVGA (320 x 240) dengan RAM 16 MB. Ia turut hadir dengan fungsi sambungan ke internet, EGPRS. Selain itu juga, telefon dengan berat 83 gram turut memiliki bateri berkapasiti 1020 mAh yang mampu menawarkan masa berbual sehingga 18 jam dan sehingga 19 hari jika ianya jarang digunakan.

Nokia 216 turut menawarkan slot kad mikro SD yang mampu menyokong sehingga maksima 32 GB. Ia juga hadir dengan variasi slot SIM tunggal atau dua slot SIM.

Bagaimanapun, hanya model dua slot SIM sahaja yang hadir ke pasaran Malaysia pada 21 Oktober ini dengan harga saranan RM169.

Memandangkan perjanjian diantara Microsoft, HMD Global dan FIH Mobile dijangka selesai dimeterai pada tahun ini juga, telefon ini berkemungkinan adalah telefon Nokia terakhir di bawah Microsoft.

-Sumber berita diperoleh dari Microsoft

 

1 komen

Tinggalkan komentar