Microsoft baru sahaja menerbitkan kemaskini pembaikan kecemasan bagi menyelesaikan masalah kerentanan sekuriti yang dinamakan sebagai Meltdown dan Spectre. Kedua-dua jenis kerentanan ini melibatkan hampir kesemua jenis cip pemprosesan yang dihasilkan sejak tahun 1995.

Syarikat sistem operasi yang berpangkalan di Redmond ini pada asalnya mensasarkan kemaskini ini diterbitkan pada Selasa minggu hadapan. Namun, terpaksa menerbitkannya lebih awal dari jangkaan setelah Google menghebahkan dua jenis kerentanan sekuriti ini kepada orang ramai.

Berikut adalah senarai kemaskini sekuriti Windows mengikut jenis-jenis Windows;

Versi Sistem Operasi Update KB
Windows Server, version 1709 (Server Core Installation) 4056892
Windows Server 2016 4056890
Windows Server 2012 R2 4056898
Windows Server 2012 Tidak disediakan
Windows Server 2008 R2 4056897
Windows Server 2008 Tidak disediakan
Windows 10 (RTM, 1511, 1607, 1703, 1709), Windows 8.1, Windows 7 SP1 ADV180002  (Ada pelbagai KB, it’s  complicated la)

Kemaskini ini bukannya menyediakan penyelesaian total bagi masalah ini. Sesetengah PC Windows memerlukan kemaskini firmware CPU tambahan bagi mengatasi serangan melalui kerentanan Spectre. Untuk Meltdown pula, kemaskini dari Microsoft ini mampu menyelesaikanya.

Microsoft juga turut mengingatkan bahawa kemaskini keselamatan yang melibatkan Meltdown dan Spectre ini tidak serasi dengan sesetengah produk antivirus. Oleh itu, bagi pengguna yang menggunakan produk antivirus pihak ketiga, terlebih dahulu perlu menyemak sama ada kemaskini bagi antivirus berkenaan serasi atau tidak dengan pembaikan yang disediakan oleh Microsoft ini.

Setakat artikel ini ditulis, hanya Microsoft, ESET dan Kaspersky sahaja yang serasi dengan kemaskini sekuriti ini. Produk-produk antivirus lain kini sedang giat mengusahakan kemaskini terbaru ini dan akan menerbitkannya seawal hari ini.

Semakan senarai penuh antivirus-antivirus yang serasi dengan kemaskini sekuriti Microsoft untuk mengatasi kerentanan Meltdown dan Spectre boleh disemak melalui pautan ini.

Sumber rujukan dari Microsoft Support

Tinggalkan komentar