Kebelakangan ini kerap kali dilaporkan terdapat masalah yang disebabkan oleh penggunaan AI tanpa pengawasan seperti isu penghasilan kandungan melibatkan Jalur Gemilang baru-baru ini. Ini menunjukkan kepercayaan terhadap teknologi ini secara amnya agak tinggi, namun ia tidak semestinya menggambarkan hal yang sama bagi pengguna teknologi AI.
Bagaimanapun, agak membimbangkan apabila Microsoft yang kadangkala berdepan dengan masalah kemaskini pada sistem operasinya menyatakan 20% – 30% kod perisian di dalam repositorinya “ditulis oleh perisian”.
TechCrunch memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Satya Nadella ketika sesi sembang tepi (fireside chat) dengan Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg di Persidangan Meta LlamaCon. Beliau berkongsikan maklumat tersebut apabila Zuckerberg bertanyakan anggaran kod-kod digunakan Microsoft yang dijana oleh AI. Dalam pada masa yang sama, Zuckerberg sendiri pun dilihat tidak begitu pasti sejauh mana kod-kod janaan AI digunakan di dalam Meta.
Nadella turut memaklumkan Microsoft menerima hasil yang tidak sepenuhnya memuaskan untuk pelbagai bahasa pengaturcaraan. Lebih banyak kemajuan yang dicapai melibatkan Python, namun tidak begitu memberangsangkan untuk C++. Setidaknya beliau mengakui ketidaksempurnaan AI dalam menulis kod perisian berbanding Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Microsoft Kevin Scott yang mensasarkan 95% dari seluruh kod perisian ditulis oleh AI menjelang 2030.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Google sebelum ini mengumumkan kepada pelaburnya ketika sesi pembentangan laporan pendapatan, 30% daripada kod yang digunakannya dijana oleh AI, meningkat dari 25% pada Oktober tahun lalu. Ketua Pegawai Eksekutif Google Sundar Pichai menyatakan teknologi AI begitu banyak digunakan syarikatnya termasuk laporan pendapatan untuk sesi pembentangan tersebut.