Istilah baharu “Microslop” kini tular di pelbagai platform media sosial sebagai tanda protes dan sindiran netizen terhadap integrasi agresif kecerdasan buatan (AI) oleh Microsoft.

Gelombang kritikan ini tercetus susulan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella. Beliau menyuarakan harapan agar masyarakat “melupakan” isu kualiti kandungan AI atau “slop” menjelang tahun 2026. Kenyataan tersebut sebaliknya mengundang reaksi negatif besar-besaran.

“Microslop” mula mendominasi platform seperti X (dahulunya Twitter), Instagram, dan Reddit sejurus selepas Nadella mengeluarkan nota ringkas mengenai visi AI syarikat tersebut.

Nadella menekankan bahawa teknologi AI perlu bergerak melangkaui fasa “kehebatan” untuk diterima umum. Walau bagaimanapun, pengguna media sosial melihat pendekatan Microsoft terlalu memaksa.

Penggunaan aplikasi berasaskan AI, Copilot ke dalam hampir setiap produk dianggap sebagai langkah yang tidak disenangi. Ia sekaligus melabelkan kandungan yang dihasilkan sebagai “slop”, istilah internet yang merujuk kepada lambakan kandungan AI yang berkualiti rendah, tidak relevan, atau tidak diingini.

Kesan teknologi AI terhadap Sosioekonomi

Sentimen ketidakpuasan hati ini bukan sekadar mengenai kualiti perisian, tetapi juga mencerminkan kebimbangan yang lebih mendalam mengenai kesan sosioekonomi teknologi tersebut.

Para pengkritik mengetengahkan isu-isu seperti penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan teknologi untuk tujuan jenayah. Ia juga potensi mewujudkan gangguan ekonomi akibat penggantian tenaga kerja manusia dengan automasi.

Apa yang sedang berlaku ialah AI dengan mengganggu peluang pekerjaan peringkat pemula terutama untuk lepasan graduan. Bagi pihak berkepentingan, ia dianggap ‘positif’ kerana tidak lagi bergantung dengan tenaga manusia demi meningkatkan nilai keuntungan para pemegang taruh.

Di peringkat ekonomi makro, wujud kebimbangan komitmen pembelian yang tinggi oleh syarikat seperti OpenAI dikhuatiri boleh mewujudkan gelembung ekonomi yang akhirnya perlu ditanggung oleh pembayar cukai.

Keadaan tersebut juga menyumbang kepada kekurangan bekalan perkakasan seperti DRAM yang akhirnya membebankan pengguna akibat kenaikan kos peranti.

Trend “Microslop” ini menyerlahkan jurang yang semakin melebar antara aspirasi syarikat gergasi teknologi (“Big Tech”) dengan kehendak sebenar pengguna.

Ketika Microsoft terus melabur secara agresif dalam ekosistem AI, penerimaan masyarakat umum terhadap teknologi ini masih jauh daripada jangkaan. Hal ini paling ketara apabila ia dilihat lebih mementingkan keuntungan korporat berbanding manfaat sosial yang sebenar.

Tinggalkan komentar