Kini, dengan hanya menggunakan MyKad atau MyKid, anda boleh membuat pinjaman buku di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tidak seperti zaman kita bersekolah dahulu yang memerlukan kita memohon kad peminjaman buku dari perpustakaan, menggunakan MyKad atau MyKid nyata memberi kemudahan buat pengunjung perpustakaan membuat pinjaman buku-buku.

Pengguna yang sudah mendaftar untuk membuat pinjaman hanya dibenarkan untuk meminjam tiga buah buku sahaja untuk tempoh tiga minggu buat masa ini. Bagi peminjam yang lewat memulangkan buku, denda 10 sen bagi setiap hari untuk setiap buku akan dikenakan.

Pendaftaran pengguna PNM boleh dilakukan secara atas talian di sini.

Walaubagaimanapun, pengguna perlu mematuhi polisi-polisi yang telah ditetapkan oleh pihak perpustakaan.

POLISI KEAHLIAN PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA

Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan pendaftaran keahlian kepada seluruh rakyat Malaysia dengan capaian ke atas perkhidmatan dan sumber keilmuan yang terdapat 
di Perpustakaan Negara Malaysia

1.  Ahli Berdaftar (warganegara Malaysia)
    i.  Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengisi borang Pendaftaran Keahlian di mana sahaja melalui Laman web Perpustakaan Negara Malaysia.
        MyID  ( Mykad / MyTentera / MyKid / MyPR ) perlu digunakan untuk pendaftaran ahli Perpustakaan Negara Malaysia dan sebagai nombor keahlian.

    ii.	Bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai MyKid, perlu membawa sijil kelahiran asal atau salinan bagi tujuan pengesahan dan akan diberikan kad keahlian.

2.  Ahli Berdaftar (bukan warganegara)
    Bagi bukan warganegara, perlu membawa pasport asal atau salinan bagi tujuan pengesahan dan akan diberikan kad keahlian.

3.  Kategori Keahlian Ahli Berdaftar
    i.  Dewasa
        Keahlian dewasa membolehkan mereka yang berumur dari 13 tahun ke atas mengakses dan menggunakan perkhidmatan serta membuat pinjaman dari
        kategori dewasa dan kanak-kanak. 

    ii.	Kanak-kanak
        Keahlian kanak-kanak membolehkan mereka yang berumur 12 tahun ke bawah mengakses dan menggunakan perkhidmatan serta membuat peminjaman 
        bahan dari perpustakaan kanak-kanak.

4.  Kemudahan Ahli 
    Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan peminjaman bagi koleksi dewasa dan kanak-kanak di lokasi tertentu. Setiap keahlian 
    dibenarkan meminjam tiga naskhah buku pada satu-satu masa untuk tempoh tiga minggu bagi setiap buku.

5.  Yuran Keahlian
    Keahlian adalah percuma dan sah untuk tempoh tiga tahun.

6.  Pertukaran Status Ahli
    Pertukaran status ahli perlu dilakukan di dalam situasi berikut:
    i.	 MyPR kepada MyKad / MyKid.
    ii.	 MyKad kepada Kad Pengenalan Tentera.
    iii. Kad Pengenalan Tentera kepada MyKad.
    iv.  Kad Keahlian PNM kepada MyKid/MyKad

Perkhidmatan peminjaman buku di PNM dibahagikan kepada tiga kategori, Perkhidmatan Pinjaman Dewasa, Perkhidmatan Pinjaman Kanak-Kanak dan Perkhidmatan Pinjaman Berkelompok.

Perkhidmatan Pinjaman Dewasa

Bagi pengguna yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan ini, pengguna perlu ke Aras 3 dan 4, Menara Wisma Sejarah yang bersebelahan Bangunan Utama PNM. Perkhidmatan Pinjaman Dewasa ini dikhaskan untuk pengguna yang berumur 13 tahun dan ke atas. Di sinilah tempat yang kerap saya lepak apabila berkunjung ke PNM.

Perkhidmatan Pinjaman Kanak-Kanak

Perkhidmatan ini sesuai untuk ibu bapa yang ingin memupuk minat membaca di kalangan anak-anak. Ia terletak di tingkat bawah bangunan utama PNM dan dikhaskan untuk kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan untuk meninggalkan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah tanpa pengawasan di premis ini.

Perkhidmatan Pinjaman Berkelompok

Perkhidmatan ini disediakan kepada institusi/jabatan yang tidak mempunyai peruntukan untuk perolehan koleksi. Sesebuah institusi/jabatan yang telah berdaftar boleh meminjam sebanyak 300 buah buku untuk tempoh tiga (3) bulan. Institusi/jabatan tersebut bertanggungjawab terhadap buku yang mereka pinjam tertakluk kepada syarat dan peraturan Pinjaman Bekelompok.

Bagi anda yang memang gemar meluangkan masa di perpustakaan, boleh berkunjung di Perpustakaan Negara Malaysia, 232, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Waktu operasi untuk kunjungan umum adalah;

Selasa hingga Sabtu : 10.00 pagi – 7.00 petang
Ahad : 10.00 pagi – 6.00 petang
Tutup : Isnin dan Cuti Umum

Maklumat lanjut boleh diperoleh dari Portal Rasmi Perpustakaan Negara Malaysia.

Imej diperoleh dari Brynner Eu, Panoramio

13 KOMEN

  1. Teringat masa pertama kali pinjam buku di Perpustakaan Negara 1999 (masa tu saya tengah study Masters di Universiti Kebangsaan Malaysia), siap ambil buku 8 buah nak scan pinjam bawa balik. Dah scan 3 buah buku, yang 5 buah buku tak boleh scan, siap keluar bunyi-bunyi memang tak boleh. Ada sorang pakcik librarian siap tanya saya, “Dah berapa buah buku pinjam?” Saya jawab “Tiga”. Pakcik librarian pun jawab, “Hah, cukuplah tu.” Saya jawab dengan nada terkejut, “Tiga je?” Pakcik librarian tu jawab, “Berapa buah buku lagi nak pinjam.” Malu jugalah rasanya bila pakcik librarian cakap kuat2 depan org ramai. Inilah padahnya gara2 tak tahu peraturan Perpustakaan Negara boleh pinjam 3 buah saja, ingatkan macam library Universiti Kebangsaan Malaysia, pelajar siswazah boleh pinjam 15 buah buku dalam tempoh 2 minggu.

  2. Woah, baru tau psl ni, kalau aku tak mai baca entry ni, mmg aku tak akan tau… hahah. Dah lama aku tak meminjam buku dari library, aku dok rajin baca ebook, pdf, online news, buku2/mags yg dibeli, n skodeng blog org saja… huhuh

Tinggalkan komentar