Meizu baru-baru ini telah mendedahkan Meizu Zero yang menampilkan ciri-ciri baru yang unik dalam rekaan telefon pintar masa kini. Tidak seperti mana-mana peranti lain yang berada di pasaran pada masa ini, telefon pintar terbaru dari Meizu ini hadir tanpa sebarang port, bicu audio, butang fizikal, dan pembesar suara kerana segalanya berada di dalam kerangkanya.

Dibina dengan casis unibody yang diperbuat daripada seramik, Meizu Zero direka bagi menepati piawai IP68 –  mampu bertahan sehingga 30 minit dalam air berkedalaman 2 meter. Telefon pintar Meizu terbaru ini turut didatangkan bersama-sama paparan AMOLED 5.99 inci dengan pengimbas cap jari optikal terbina di dalam paparan dan kuasa pemprosesan oleh chipset Qualcomm Snapdragon 845. Walaubagaimanapun, pihak Meizu tidak menyatakan kapasiti RAM dan storan dalaman bagi telefon pintar terbaru ini.

Memandangkan telefon pintar ini tidak memiliki butang fizikal, kawalan tahap bunyi dan butang kuasa boleh didapati pada sisi telefon pintar ini melalui permukaannya yang sensitif tekanan.

https://youtu.be/qASIBEZgoB0

Untuk bunyinya pula, Meizu melengkapkan Zero dengan teknologi bunyi mSound 2.0 yang di tempatkan bawah paparannya atas faktor telefon pintar ini tidak dilengkapi dengan pembesar suara. Telefon pintar ini juga bergantung sepenuhnya dengan eSIM dan langsung tidak dilengkapkan dengan dulang fizikal slot kad SIM.

Dari segi fotografi, Meizu Zero dilengkapi dengan sepasang lensa 20MP IMX350 dan 12.3MP IMX380 dari Sony untuk kamera utamanya. Manakala kamera hadapannya, ia didatangkan dengan sebuah lensa 20MP.

Oleh kerana telefon pintar ini tiada sebarang port pengecas, ia bergantung dengan pengecasan nirwayar pantas Super Wireless mCharge 18W yang didakwa pengecas nirwayar paling pantas oleh pihak Meizu. Tiada sebarang maklumat berkaitan kapasiti bateri diumumkan oleh pihak Meizu setakat ini.

Dalam perkembangan yang sama, tarikh pelancaran dan pegumuman harga rasmi Meizu Zero masih belum ditetapkan kerana setakat ini ia bergantung dengan kesediaan penggunaan eSIM oleh telco-telco di China. Tidak dapat dipastikan sama ada telefon pintar ini akan hadir menemui pengguna di Malaysia memandangkan bukan semua telco-telco di Malaysia yang sudah bersedia menawarkan perkhidmatan eSIM kepada pengguna-penggunanya.

Sumber berita diperoleh dari Meizu – 1, 2, 3

Tinggalkan komentar