MediaTek baru-baru ini telah melancarkan cipset baharu Pentonic 2000, bersama-sama cipset untuk peranti mudah alih, Dimensity 9000. Apa yang membezakan cipset ini dengan cipset peranti mudah alih, cipset Pentonic 2000 ini direka khas untuk TV 8K peringkat mercu.
Pentonic 2000 dihasilkan menerusi nod pembuatan 7nm N7 dari TSMC. Dari sudut pandang prestasi, cipset baharu ini mampu memacu resolusi sehingga 8K dengan kadar penyegaran semula setinggi 120Hz. Serta sehingga 144Hz untuk PC yang menyokongnya dan konsol-konsol generasi baharu seperti PS5, Xbox Series X/Series S.
Selain dari sokongan paparan beresolusi tinggi, Pentonic 2000 juga diintegrasikan dengan enjin MEMC 8K 120Hz, dan MediaTek AI Processing Unit (APU). Ia juga hadir dengan teknologi AI-Super Resolution yang meningkatkan kandungan beresolusi rendah kepada resolusi natif paparan tersebut.
Malah, cipset ini juga merupakan salah satu cipset TV 8K pertama yang menyokong codec Versatile Video Coding (VVC) H.266 bersama-sama sokongan Dolby Vision dan Dolby Atmos.
Tidak ketinggalan, Pentonic 2000 juga menyokong storan ultra pantas UFS 3.1. Ia juga menawarkan sokongan ketersambungan teknologi Wi-Fi 6E dari MediaTek dan juga modem 5G.
MediaTek Pentonic 2000 dijangka akan dilancarkan bersama-sama TV 8K peringkat mercu generasi berikutnya yang dijangka hadir pada tahun 2022.













