MediaTek kini sedang mengacah cipset telefon pintar 4nm pertama di dunia melalui video yang disebarkan di internet. Khabar terbaru mengatakan cipset berkenaan sudah pun mula menerima perhatian dari pengeluar telefon dengan vivo merupakan salah satu darinya.

Baru-baru ini telefon pintar vivo V2184 yang menggunakan cipset MediaTek MT6983 telah dilaporkan mencatatkan markah melebihi 1 juta di AnTuTu. Menurut sumber, cipset berkenaan juga dikenali sebagai Dimensity 2000 dan telefon tersebut pula berkemungkinan model siri X terbaru dari vivo.

Markah yang dicatatkan iaitu, 1,002,220 hanya dilaporkan oleh Ice Universe dan Digital Chat Station. AnTuTu sendiri bagaimanapun, belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenainya.

Sebagai perbandingan, antara telefon Android berprestasi tinggi setakat ini, Red Magic 6 dengan cipset Snapdragon 888 mencatatkan markah sebanyak 858,734. Untuk peranti mudah alih, hanya iPad Pro dengan cip Apple M1 sahaja yang pernah melepasi markah 1 juta.

Menurut Digital Chat Station, Dimensity 2000 akan menampilkan satu teras Cortex-X2 (3.0Ghz), tiga teras A710 dan empat teras A510. Untuk grafik, cipset mudah alih ini dijangka menggunakan ARM Mali-G710 MC10.\

Cipset MediaTek amat jarang digunakan pada peranti-peranti mercu sebelum ini kerana menumpukan perhatian pada peranti peringkat menengah dan rendah. Melalui kehadiran cipset baharu ini, dijangkakan MediaTek bakal memasuki arena peranti mudah alih mercu yang selama ini dikuasai oleh Qualcomm.

Tinggalkan komentar