Maxis telah mengumumkan pengenalan Miya, sebuah pembantu maya berasaskan kecerdasan buatan (AI) generatif, yang kini diintegrasikan ke dalam aplikasi mudah alih Maxis untuk para pelanggan. Inovasi ini bertujuan untuk mengubah cara pengguna berinteraksi dengan perkhidmatan syarikat telekomunikasi itu, beralih daripada navigasi menu tradisional kepada perbualan yang lebih intuitif dan lancar.

Miya, singkatan daripada “Maxis Intelligence, Your Assistant,” dibangunkan menggunakan teknologi Google Cloud’s Customer Engagement Suite. Pembantu maya ini direka untuk menyediakan bantuan sepanjang masa, membolehkan pengguna mendapatkan sokongan pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada.

Sebelum Miya, Maxis telah memperkenalkan beberapa inisiatif AI, termasuk MIRA untuk Concept Store di The Gardens Mall dan Mia, sebuah AI generatif untuk pelanggan perniagaan (B2B) yang dikuasakan oleh teknologi AWS. Pengenalan Miya kini memfokuskan kepada pengguna umum, menawarkan pengalaman yang lebih peribadi dan efisien.

Pengguna boleh mengakses pelbagai perkhidmatan terus melalui tetingkap sembang Miya dalam aplikasi Maxis. Antara ciri utama yang diketengahkan termasuk:

  • Pengurusan bil: Menyemak dan menguruskan bil bulanan.
  • Akses pas perantauan: Membeli atau mendapatkan maklumat mengenai pas perantauan antarabangsa
  • Semakan kontrak: Menyemak status dan butiran kontrak langganan.

Selain itu, Miya juga boleh menjawab pertanyaan mengenai produk dan perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh Maxis serta membantu pengguna dengan navigasi umum dalam aplikasi.

Menurut Maxis, Miya akan diperkenalkan kepada pengguna secara berperingkat. Pengguna boleh mengakses pembantu maya ini dengan menekan logo Maxis di bahagian bawah skrin utama aplikasi. Kemas kini ini adalah sebahagian daripada usaha penyegaran aplikasi Maxis untuk memberikan pengalaman yang lebih ringkas kepada para pelanggannya.

Tinggalkan komentar