Awal minggu ini, Maxis telah menyatakan pihaknya masih lagi belum memuktamadkan perjanjian akses 5G dengan Digital Nasional Berhad (DNB). Setakat ini, hanya Maxis sahaja satu-satunya syarikat telekomunikasi utama di Malaysia yang masih lagi belum mendapat akses ke infrastruktur 5G kebangsaan.

Berdasarkan pengumuman terkini yang dikeluarkan untuk Bursa Malaysia, Maxis menyatakan pihak lembaganya telah melengkapkan proses penilaian keperluan perjanjian tersebut.

Bagaimanapun, pihak lembaga berpendapat syarikat perlu mendapatkan persetujuan dari pemegang saham berkenaan perkara ini sebelum menandatangani perjanjian. Maxis turut menyatakan keputusan ini dibuat selepas menerima nasihat pakar.

Pengumuman tersebut juga menyebut Maxis mensasarkan untuk melengkapkan proses pengesahan menjelang Januari 2023. Dijangkakan, akses ke rangkaian 5G melalui Maxis akan ditawarkan selepas proses tersebut selesai.

Sebelum ini, Yes 5G telah menawarkan akses rangkaian 5G bermula sejak Disember tahun lepas. Manakala, unifi Mobile, Celcom dan U Mobile pula telah mengaktifkan akses rangkaian 5G masing-masing pada minggu ini. Digi juga telah menandatangani perjanjian akses 5G berkenaan, namun masih belum mengumumkan tarikh pelancarannya buat masa ini.

Tinggalkan komentar