Syarikat gergasi nadir bumi dari Australia, Lynas Rare Earths Ltd, telah mengumumkan rancangan pelaburan sebanyak RM500 juta untuk membina sebuah loji pemisahan nadir bumi berat (HRE) yang baharu di Malaysia.
Pelaburan strategik ini bertujuan untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat bagi sumber nadir bumi di luar China, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global untuk bahan kritikal ini.
Loji baharu yang dirancang ini akan meningkatkan keupayaan Lynas dalam pengeluaran nadir bumi berat. Fasiliti tersebut direka untuk memproses sehingga 5,000 tan stok suapan HRE setiap tahun. Langkah ini akan mengukuhkan lagi status Lynas sebagai satu-satunya pengeluar komersial produk nadir bumi berat terpisah di luar China, satu pencapaian yang telah dicapai melalui operasinya di Malaysia.
Pelaburan ini akan memfokuskan kepada pemisahan dua jenis nadir bumi berat yang amat penting, iaitu disprosium (dysprosium) dan terbium. Kedua-dua elemen ini merupakan komponen kritikal dalam pembuatan magnet berprestasi tinggi yang digunakan secara meluas dalam pelbagai teknologi moden, termasuk:
- Enjin kenderaan elektrik (EV)
- Elektronik pengguna
- Turbin angin dan teknologi tenaga boleh diperbaharui
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze, keupayaan untuk menawarkan sumber produk di luar China merupakan satu langkah penting untuk daya tahan rantaian bekalan global. Lynas telah pun memulakan pengeluaran disprosium oksida di fasiliti sedia adanya di Malaysia.
Seterusnya menjadikan pengeluar pertama di luar China yang menjalankan secara komersial. Loji baharu ini dijangka memulakan komisen dan pengeluaran pada pertengahan 2025.
Lynas telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 2012 melalui loji bahan termajunya yang terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan. Loji sedia ada ini memproses konsentrat dari lombong Mt Weld di Australia dan membekalkan bahan nadir bumi terpisah kepada pelanggan di Asia, Eropah, dan Amerika Syarikat.













