Perubahan teknologi tetikus tanpa wayar tidak mengalami perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sungguhpun penambahbaikan seperti tempoh hayat penggunaan bateri, ketepatan dan reka bentuk sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa, ia masih lagi perlu dicas atau ditukar ganti baterinya apabila kehabisan.

Kini, Logitech telah menjadikan penggunaan tetikus tanpa wayar lebih mudah apabila memperkenalkan dua set teknologi yang terbaru. Pertama, Logitech G Powerplay, penyelesaian pengecas tanpa wayar untuk tetikus dan yang kedua, Logitech G Lightspeeds, sambungan tanpa wayar yang didakwa menawarkan kadar responsif yang lebih pantas dari sambungan berwayar.

Logitech G Powerplay merupakan sebuah pad tetikus yang mengecas secara terus apabila menggunakan model-model tetikus tertentu digunakan di atasnya. Model-model yang disokong adalah tetikus Logitech G703 dan G903.

Spesifikasi asas kedua-dua tetikus ini adalah sama iaitu menyokong Windows 7, 8, 8.1, dan 10, tracking diantara 200-12,000dpi, kadar klik pada butang sehingga 50 juta dan jaminan 2 tahun.

Model G903 dibezakan dengan G703 dengan menawarkan 11 butang yang boleh diprogramkan, memberikan pilihan sambungan berwayar, penalaan jam, butang pivot mekanikal dan pencahayaan RGB yang boleh diprogramkan.

Untuk Lightspeed pula, ia menjanjikan kadar waktu respons penggunaan tetikus tanpa wayar cuma paa 1 milisaat sahaja. Pad tetikus Powerplay menggunakan penderia Lightspeed yang terbina dalam. Jadi, apabila digabungkan bersama-sama tetikus tanpa wayar Logitech G703 dan G903, ia bakal menjanjikan pengalaman permainan video yang lebih gempak.

Tetikus tanpa wayar Logitech G703 dan G903 bakal hadir ke pasaran global sekitar penghujung bulan ini dengan harga masing-masing $99.99 (lebih kurang RM429.90) dan $149.99 (lebih kurang RM638.87). Manakala G Powerplay pula dijangka hadir sekitar Ogos ini dengan harga yang ditawarkan $99.99 (lebih kurang RM429.90).

Sumber berita diperoleh dari The Verge

Tinggalkan komentar