Logitech secara rasminya telah melancarkan papan kekunci mekanikal nirwayar G915 TKL. Papan kekunci ini merupakan sebahagian dari siri G915 bersaiz penuh dan dibezakan pada saiz kompaknya.
Selain dari saiznya yang lebih kompak, ciri-ciri dan teknologi yang ditawarkan oleh papan kekunci ini secara amnya masih lagi sama. Antara ciri dan teknologi yang ditawarkan merangkumi teknologi nirwayar Logitech LIGHTSPEED dan LED RGB LIGHTSPEED.
Juga disediakan adalah pensuisan permainan yang hadir dengan tiga kekunci pensuisan berbeza iaitu GL Linear, GL Tactile, dan GL Clicky.
Dari segi prestasi, teknologi nirwayar Logitech LIGHTSPEED menjamin kadar pelaporan 1ms bagi setiap ketukan kekunci. Untuk baterinya, G915 TKL mampu dihidupkan secara berterusan sehingga 135 hari dengan mematikan lampu LED RGB LIGHTSPEED. Untuk penggunaan permainan komputer, baterinya mampu bertahan selama 40 jam untuk sekali cas.
Papan kekunci permainan komputer nirwayar Logitech G915 TKL akan mula dijual di pasaran tempatan bermula pada Julai ini pada harga RM929.












