Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengeluarkan kenyataan media pada hari ini menyatakan tiada perubahan terhadap pengecualian bayaran tol untuk penunggang motosikal. Kenyataan ini dikeluarkan sebagai maklumbalas terhadap hantaran tular media sosial oleh akaun bernama ebidmotor.
Hantaran tular tersebut bertajuk “Penunggang Motosikal Boleh Merasai Pengalaman Membayar Tol Mulai Oktober 2025 Ini” mengandungi maklumat tidak tepat dan mengelirukan, menurut LLM.
Tambah kenyataan itu lagi, dakwaan tersebut boleh menyebabkan salah faham di kalangan pengguna lebuh raya terutamanya penunggang motosikal. Ia juga boleh menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya yang terlibat.
“LLM menegaskan bahawa tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk penunggang motosikal,” ujar kenyataan tersebut. “Oleh itu, posting yang dimuat naik oleh ebidmotor adalah tidak benar, mengelirukan, dan boleh mencetuskan kebimbangan yang tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal.
Dalam pada masa yang sama, turut dinyatakan PLUS Malaysia Berhad sedang mengadakan ujian dengan sistem tol terbuka menggunakan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR). Jika pengujian ini berjaya, sistem tol terbuka akan dilaksanakan secara berperingkat di lebuhraya-lebuhraya yang dikendalikan oleh PLUS.
Tujuan sistem tersebut, menurut LLM bagi memastikan trafik bergerak lancar dan mengurangkan kesesakan. Teknologi ANPR baharu ini membolehkan sistem tol tanpa palang. Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, ketika mengulas menyatakan sistem ini boleh menjadi batu loncatan untuk mewujudkan sistem pembayaran tol aliran pantas (Multi-Lane Fast Flow, MLFF).