Putrajaya, 18 Ogos 2025 — LEGASI: BOMBA THE MOVIE hadir sebagai sebuah karya sinematik berskala besar yang menampilkan aksi mendebarkan, emosi mendalam, dan penghormatan tulus kepada barisan wira di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Menggabungkan elemen drama, pengorbanan, dan ketegangan, filem ini membawakan penonton menyelami realiti perjuangan anggota bomba yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain.

Diarahkan oleh James Lee dan Frank See, LEGASI: BOMBA THE MOVIE berkisarkan kisah Amir, seorang anggota pasukan elit Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) yang berdepan dengan trauma silam, tetapi dipaksa kembali ke barisan hadapan apabila sebuah menara pencakar langit TEXVIN 118 dilanda kebakaran besar. Misi menyelamat ini menguji kekuatan fizikal, mental, dan semangat setia kawan mereka, dalam sebuah penceritaan yang menggabungkan realisme operasi penyelamatan dengan sentuhan dramatik yang menyentuh hati.

LEGASI: BOMBA THE MOVIE merupakan sebuah produksi yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, menjadikannya bukan sahaja sebuah filem aksi, tetapi juga simbol aspirasi dan iltizam dalam mengangkat martabat serta pengorbanan wira bomba negara.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat tanah air, antaranya Ben Amir, Nas-T, Henley Hii serta disokong oleh pelakon sampingan seperti Hairie Othman, Ammar Alfian, Fad Anuar, Abbas Mahmood, Sasidaran, Nia Atasha dan Mathni Razak. Aksi yang dipaparkan disalurkan dengan latihan intensif oleh JBPM sendiri, memastikan setiap gerakan dan prosedur kelihatan autentik di layar perak, sekaligus memberikan penghormatan kepada kepakaran sebenar anggota bomba.

LEGASI: BOMBA THE MOVIE dipersembahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), bersama rakan penerbit Multimedia Entertainment, GSC, ASTRO dan Six Fun, dipersembahkan bersama HONOR. Filem ini turut menerima sokongan padu daripada penaja utama CUCKOO serta penaja bersama Kinohimitsu, disempurnakan lagi dengan sokongan rasmi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Diedarkan secara eksklusif oleh GSC Movies, ia juga mendapat dukungan media daripada radio rasmi ERA, SINAR, GEGAR dan ZAYAN, sementara IOI City Mall, Putrajaya menjadi lokasi rasmi penajaan malam gala.

Malam gala rasmi telah berlangsung gemilang pada 18 Ogos di IOI City Mall, Putrajaya, dengan kehadiran tetamu kehormat termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, Yang Berhormat Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berbahagia Tan Sri Khalid bin Abu Bakar, Pengerusi Kumpulan Multimedia, Yang Amat Setia Dato’ Sri Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Yang Berhormat Azmizan Zaman Huri, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Yang Berbahagia Datuk Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia, Ms. Koh Mei Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Golden Screen Cinemas, Ms. Agnes Rosario, Pengarah Kandungan Astro, Mr. K.C. Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Six Fun, Pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta barisan para pelakon, penaja, dan rakan media.

Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 21 Ogos 2025. LEGASI: BOMBA THE MOVIE bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah penghargaan kepada keberanian, pengorbanan, dan semangat kental anggota bomba Malaysia.

Tinggalkan komentar