Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini mendedahkan bahawa Shah Alam merekodkan kos sara hidup tertinggi dalam kalangan ibu negeri di Malaysia bagi tahun 2024, mengatasi Kuala Lumpur.
Menurut Laporan Indikator Kos Sara Hidup 2024 yang diterbitkan hari ini, Selangor, Pulau Pinang, dan Putrajaya kekal sebagai wilayah yang mencatatkan indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) tertinggi, manakala Kangar, Perlis kekal sebagai lokasi paling berpatutan.
Laporan tersebut memperkenalkan indeks PAKW yang mengukur perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk mengekalkan taraf hidup yang wajar, dengan Kuala Lumpur dijadikan titik rujukan pada nilai 100.
Bagi kategori isi rumah seorang (bujang), Shah Alam mencatatkan indeks 99.8, diikuti oleh Johor Bahru (92.9) dan George Town (90.7). Sebaliknya, Kangar merekodkan indeks terendah pada 59.0, bersama Kota Bharu (61.5) dan Kuala Terengganu (68.2).
Di peringkat negeri, Selangor terus mendahului dengan indeks PAKW tertinggi merentas semua saiz isi rumah, diikuti rapat oleh Pulau Pinang dan Putrajaya.
Bagi analisis di peringkat daerah, Petaling di Selangor merupakan satu-satunya daerah yang mencatatkan indeks melebihi Kuala Lumpur bagi semua kategori saiz isi rumah. Indeks bagi isi rumah seorang di Petaling mencecah 103.3, jauh lebih tinggi berbanding daerah pedalaman seperti Pantu di Sarawak yang merekodkan kos sara hidup 72.2% lebih rendah berbanding ibu negara.
Menurut DOSM, indeks yang lebih tinggi mencerminkan keperluan perbelanjaan yang lebih besar, manakala indeks yang lebih rendah menunjukkan kos sara hidup yang lebih kompetitif.
Data ini menunjukkan bahawa isi rumah empat orang di Perlis hanya memerlukan perbelanjaan 39.1% lebih rendah berbanding isi rumah sama di Kuala Lumpur untuk mencapai taraf hidup yang setara.
Statistik Utama Indeks PAKW 2024
- Ibu Negeri Tertinggi: Shah Alam (99.8), Johor Bahru (92.9), George Town (90.7).
- Ibu Negeri Terendah: Kangar (59.0), Kota Bharu (61.5).
- Daerah Tertinggi: Petaling, Selangor (103.3 – Bujang).
- Perbandingan Kos: Isi rumah di Kelantan memerlukan RM537 bagi setiap RM1,000 yang dibelanjakan di Kuala Lumpur.
Selaras dengan penerbitan laporan ini, DOSM turut mengemaskini Kalkulator MyPAKW bagi tahun 2024 untuk membolehkan rakyat menganggarkan perbelanjaan wajar berdasarkan lokasi dan demografi masing-masing.
Kalkulator ini boleh diakses di portal rasmi DOSM, manakala aplikasi mudah alih dijangka akan dilancarkan pada Februari 2026 untuk kemudahan pengguna.













