Suatu masa dahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Sony Computer Entertainment, Ken Kutaragi pernah mereka bentuk dan menghasilkan konsol prototaip PlayStation bersama-sama Nintendo. Kini dilaporkan konsol prototaip Nintendo PlayStation yang satu-satunya yang ada lagi akan dilelong pada Mac 2020.

Menurut laporan Polygon, konsol prototaip berkenaan pada asalnya telah dibeli oleh Terry Diebold. Beliau mendakwa telah membelinya ketika lelong borong sewaktu syarikat tempat beliau kerja, Advanta Corporation dalam proses menamatkan operasi.

Dari segi rupa bentuk luaran, konsol ini menampilkan rekaan berbentuk petak dengan slot kartrij permainan di atasnya dan dulang CD-SNES ditempatkan pada bahagian hadapan.

Oleh kerana ianya merupakan konsol keluaran Nintendo, ianya menyediakan port alat kawalan SNES. Cuma alat kawalan bagi konsol prototaip yang masih lagi boleh berfungsi ini ditampal dengan logo Sony PlayStation.

Konsol Nintendo PlayStation dijadualkan akan mula dilelong dari 5 Mac 2020 hingga 7 Mac 2020 dengan bidaan atas talian bermula lebih awal pada Februari 2020.

Bagaimanapun pemiliknya, Terry Diebold telah mula menerima banyak tawaran secara PM tepi apabila salah seorang individu dari Norway telah menawarkan sebanyak US$1.2 juta (~RM4.95 juta) untuk membelinya.

Tawaran tersebut tidak diterima oleh Terry Diebold dan beliau masih lagi kekal untuk melelongnya berdasarkan jadual yang telah ditetapkan.

Sumber berita diperoleh dari Polygon

Tinggalkan komentar