Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kini sedang melaksanakan percubaan sistem laluan pelepasan kastam baharu yang menggunakan kod warna bagi ketibaan antarabangsa.

Inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan dan mempercepatkan aliran pergerakan penumpang yang tiba di negara ini.

Sistem baharu ini membahagikan laluan keluar di balai ketibaan kepada dua kategori utama, iaitu lorong hijau dan lorong merah, menggantikan sistem terdahulu yang mewajibkan semua penumpang melalui satu lorong imbasan kastam yang sering menyebabkan kelewatan pada waktu puncak.

Di bawah pelaksanaan ini, tiga lorong keluar disediakan selepas kawasan tuntutan bagasi, merangkumi dua lorong hijau dan satu lorong merah .

Lorong hijau dikhaskan untuk penumpang yang tidak mempunyai barangan untuk diisytiharkan, membolehkan mereka terus keluar ke balai ketibaan tanpa perlu melalui imbasan sinar-X mandatori. Manakala, lorong merah adalah untuk penumpang yang membawa barangan bercukai atau terlarang yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Walaupun prosedur imbasan dikurangkan bagi lorong hijau, aspek keselamatan negara tetap diutamakan. Pegawai penguat kuasa daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA/AKPS) akan terus menjalankan pemeriksaan rawak serta menggunakan risikan risiko dan data manifes penerbangan untuk mengenal pasti penumpang berisiko tinggi bagi pemeriksaan di lorong merah.

Sistem ini turut dirancang untuk diperluaskan ke KLIA Terminal 2 serta lapangan terbang antarabangsa lain seperti di Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.

Tinggalkan komentar