Tidak lama lagi anda tidak lagi diperlukan untuk melakukan pemeriksaan suhu sebelum memasuki sesebuah premis. Menerusi sidang media yang diadakan pada hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah menyatakan pemeriksaan suhu mandatori sebagai sebahagian dari SOP COVID-19 akan digugurkan tidak berapa lama lagi.

Beliau menyatakan usul berkenaan telah dibawakan ke Majlis Keselamatan Negara untuk disemak dan diluluskan. Buat masa ini, masih belum dinyatakan bilakah SOP baharu berkenaan akan dikuatkuasakan.

Pemeriksaan suhu sebelum ini merupakan salah satu yang diwajibkan terhadap perniagaan sebagai sebahagian dari SOP COVID-19. Selain itu, pengguna yang ingin memasuki ke dalam premis juga diwajibkan untuk menulis buku rekod atau mengimbas kod QR MySejahtera.

Bagaimanapun, pemeriksaan suhu pada masa ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak relevan memandangkan kebanyakan kes baharu COVID-19 adalah tiada simptomatik. Pemeriksaan kendiri dengan kit ujian COVID-19 adalah lebih berkesan dalam mengesan sebarang jangkitan COVID-19.

Melalui kadar pemvaksinan yang tinggi dan program pemberian dos penggalak yang sedang dijalankan sekarang, kemasukan ke hospital termasuk ICU disebabkan COVID-19 telah berkurangan secara mendadak di Malaysia.

Menurut COVIDNow, kadar kematian telah merosot sebanyak 26% dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini. Manakala kemasukan ke hospital pula dalam tempoh 7 hari yang lepas telah berkurangan sebanyak 6%.

 

Tinggalkan komentar