Kuala Lumpur, 10 November 2022 – Selepas berjaya menolong ratusan rakyat Malaysia yang terkesan banjir awal tahun ini, Terato Tech Sdn. Bhd. baru-baru ini melancarkan versi 2.0 aplikasi KitaJaga dengan kemaskini penting termasuk kempen Banjir Watch yang dipertingkat, sempat bagi musim tengkujuh yang bakal melanda tanah air.
KitaJaga 2.0 menyediakan persekitaran yang lebih selamat dengan mewajibkan pengguna mendaftar dan mencipta profil sebelum dapat gunakan aplikasi itu. Tambah lagi, ia juga perkenalkan ciri sembang (Chat) yang membolehkan pengguna menghubungi pihak yang meminta tolong (Helpee) menggunakan kotak bual tanpa mendedahkan nombor telefon bagi melindungi kebersendirian.
Mulai sekarang, KitaJaga hanya membolehkan Banjir Watch dicapai melalui aplikasi mudah alih dan tidak lagi melalui laman sesawangnya. Tindakan ini membantu meningkatkan pengalaman pengguna dengan membolehkan mereka menerima notifikasi keadaan banjir dalam telefon mudah alih mereka dan lokasi pin mereka ditanda dengan lebih tepat.
Ciri-ciri baharu utama yang diperkenal dalam Banjir Watch ialah:
- Notifikasi Pengawasan Banjir Pelbagai Lokasi: Ciri ini membolehkan pengguna memantau keadaan banjir di pelbagai lokasi menggunakan profil pengguna tunggal. Aplikasi akan menghantar notifikasi kawasan terkesan banjir setiap 15 minit.
- Pin Automatik KitaJaga – Twitter: Sesiapa pun kini dapat meminta tolong dengan menghantar ciapan di Twitter bagi KitaJaga mencipta pin. Untuk menggunakan ciri ini, pengguna mesti menggunakan tanda @banjirwatch. Mereka hanya perlu memberi KitaJaga nama, lokasi, dan jenis pertolongan yang diperlukan dan pin akan tercipta secara automatik dalam aplikasi KitaJaga.
- Bantuan oleh Organisasi: Ciri yang memudahkan organisasi melancarkan bantuan dalam KitaJaga dengan memasukkan nama organisasi apabila menawarkan pertolongan.
Reza Razali, pengasas Terato Tech dan KitaJaga berkata, “Kami gembira kempen Banjir Watch kami telah memberi kesan positif terhadap masyarakat kita. Contohnya, antara Disember 2021 dan Jun tahun ini, kempen Banjir Watch kami merekodkan 377 pin Helpee dan 426 pin Helper di Shah Alam. Kami telah menambah baik aplikasi untuk memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat kita, jadi saya galakkan pengguna kami mengemaskini aplikasi KitaJaga dalam telefon pintar mereka untuk menikmati ciri-ciri baharu ini secepat mungkin.”
Selain ciri-ciri di atas, kempen Banjir Watch KitaJaga juga mempunyai fungsi baharu. Contohnya, kempen kini memaparkan amaran banjir berkod warna untuk tahap Perhatian, Amaran, dan Bahaya yang muncul sebaik sahaja aplikasi KitaJaga dilancarkan.
Dengan kemaskini baharu juga, KitaJaga sedia bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, syarikat swasta, atau agensi kerajaan dalam kempen Banjir Watchnya.
“Kami berharap dapat menjalin kerjasama baharu termasuk dengan agensi kerajaan supaya kita dapat memenuhi keperluan penduduk dan menyelaras kerja menyelamat menggunakan maklumat yang didapati melalui KitaJaga,” Reza menyimpulkan.
Banjir Watch KitaJaga baharu boleh didapati untuk peranti Android dan iOS.