KickAssTorrents (KAT) kembali semula. Kali ini menggunakan domain kat.am, lengkap dengan pangkalan data KAT dan data akaun pengguna. Bagaimanapun, maklumat hosting masih lagi kekal rahsia disebalik dinding Cloudflare.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, berlaku ‘aksi aci kejar’ di antara Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat dan suku sakat KickAssTorrents. Mirip jalan cerita filem ‘Catch Me If You Can’. Sekarang ini, muncul lagi satu laman web torrent baru yang wujud dari ‘debu-debu’ kehancuran KickAssTorrents yang asal.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat telah menamatkan domain KAT serta berjaya memberkas pengasasnya Artem Vaulin aka Tirm dengan bantuan Facebook dan Apple. Walaubagaimanapun, sebagaimana yang dijangka oleh ramai pihak, muncul pula lebih banyak laman mirror kepada KAT selepas penangkapan tersebut. Antaranya Dxtorrent dan kickass torrents.website.
Namun, menurut The Verge, KAT.am adalah laman web yang paling layak untuk menjadi laman ‘kelahiran semula KickAssTorrents. Laman tersebut dihoskan oleh pelayan awanan yang lain untuk mengelakkan dari disekat, serta maklumat hosting disorok kemas dibelakang Cloudflare.
Sebelum ini, laman web lanun torrent Pirate Bay pernah menempuh pengalaman yang sama apabila pengasas-pengasasnya ditahan oleh pihak berkuasa. Namun, tidak memberikan sebarang kesan terhadap aktiviti perkongsian fail cetak rompak di internet apabila wujud pula laman penggantinya yang menggunakan domain lain. Hari ini, laman Pirate Bay masih lagi beroperasi seperti biasa sebagaimana waktu sebelum penahanan pengasas-pengasasnya.
Nampak gaya, walau apa jua tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dan pihak korporat yang memegang kuasa hak cipta terpelihara, aktiviti perkongsian fail cetak rompak di internet masih lagi tidak dapat dihentikan.
Sumber berita diperoleh The Verge













