Kementerian Pelajaran bersedia untuk memperkenalkan mata pelajaran pengaturcaraan komputer ke dalam sukatan mata pelajaran kebangsaan pada tahun hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood, ia bukan sahaja menjadi sebahagian daripada sukatan mata pelajaran sains komputer, ia turut dimuatkan ke dalam subjek-subjek lain seperti sains dan matematik.

“Kita akan melancarkan gerakan pembuat digital ini pada bulan hadapan, di mana pengaturcaraan diterapkan sebagai kurikulum rasmi di sekolah-sekolah, bermula dari murid tahun tiga dan ke atas,” ujar beliau melalui forum yang dianjurkan oleh Google Malaysia.

Pelaksanaan ini bakal menjadikan pelajar-pelajar di Malaysia lebih dari sekadar pengguna teknologi dan menyediakan tapak untuk memberi sumbangan dalam penghasilan teknologi baharu. Menurut Datuk Yasmin Mahmood, mata pelajaran baru ini sudah pun dimulakan sebagai program rintis di 22 buah sekolah di seluruh negara.

Sehingga kini masih belum ada sebarang perincian tentang mata pelajaran berkenaan didedahkan. Bagaimanapun, beliau menyatakan segala maklumat berkenaan tentangnya akan boleh diperoleh menjelang Ogos ini. Cuma, tidak dapat dipastikan sama ada Kementerian Pelajaran atau MDEC yang akan memberikan perincian tersebut.

Malaysia kini mengikut jejak langkah negara-negara membangun yang kini menerapkan mata pelajaran pengaturcaraan sebagai sebahagian daripada komponen penting di dalam ekonomi digital. Penerapan mata pelajaran ini mampu menjadikan Malaysia sebagai salah satu peneraju utama di dalam bidang teknologi maklumat.

Sumber berita diperoleh dari The Malay Mail Online, Imej diperoleh dari Saw Siow Feng

Tinggalkan komentar