Siri iPhone 12 mencatatkan jualan yang paling laris selepas iPhone 6 pada 2014, menurut laporan dari Counterpoint Research. Jika skrin yang lebih besar menjadi daya tarikan orang ramai terhadap siri iPhone 6, apa pula daya tarikan dari iPhone 12?

Menurut analisis, ianya adalah disebabkan oleh sokongan rangkaian 5G dan juga penggunaan skrin OLED pada semua model-modelnya. Tidak seperti generasi-generasi iPhone sebelumnya, kebanyakan pengguna lebih tertumpu pada model-model yang lebih tinggi spesifikasinya.

iPhone 12 Pro Max, secara amnya merupakan yang paling popular di dalam siri berkenaan dengan menguasai 29% dari jumlah jualan keseluruhannya di seluruh dunia.

Hal ini disebabkan pengguna merasakan iPhone 12 Pro Max memberikan pulangan yang berbaloi dengan harga yang ditawarkannya berbanding model-model lain di dalam siri ini.

Jualan iPhone 12 di seluruh dunia secara keseluruhannya telah mencapai 100 juta unit pada April lalu, iaitu tujuh bulan selepas ia dilancarkan. Sebagai perbandingan, siri iPhone 11 mengambil masa sehingga 9 bulan untuk mencapai angka jualan yang sama.

Tinggalkan komentar