KUALA LUMPUR, 29 Julai 2025 – Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (Pusat), John Burke, telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Pusat Konvensyen Antarabangsa (AIPC) bagi tahun 2025, sekali gus mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam industri mesyuarat dan konvensyen global. Pelantikan berprestij ini menegaskan kepimpinan Pusat dalam menganjurkan acara bertaraf dunia serta pengaruh Malaysia yang semakin berkembang dalam membentuk piawaian antarabangsa untuk kecemerlangan pusat konvensyen.
Mengulas mengenai pelantikannya ke Lembaga Pengarah AIPC, John berkata, “Jawatan ini membuka peluang berharga untuk bekerjasama dengan rakan industri global dalam merangka masa depan pusat konvensyen, di samping mengetengahkan kekuatan Malaysia dan Asia Pasifik di peringkat antarabangsa. Saya berbesar hati untuk berkongsi amalan terbaik serantau demi meningkatkan piawaian industri konvensyen, seterusnya memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur dan rantau Asia Pasifik sebagai hab utama bagi acara perniagaan bertaraf antarabangsa.”
Dengan keanggotaan dari lebih 55 negara di seluruh dunia, AIPC menghimpunkan para pengurus profesional pusat konvensyen dan pameran dari serata dunia, dengan komitmen yang teguh untuk mempertingkatkan kecemerlangan pengurusan venue melalui penyelidikan, pendidikan dan rangkaian global. Lembaga Pengarah AIPC bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik persatuan, termasuk mencadangkan dasar dan program yang memberi manfaat kepada ahli serta meningkatkan piawaian global dalam industri ini.
Sebagai ahli Lembaga Pengarah, John akan bekerjasama dengan pemimpin industri seperti Julianne Jammers dari SwissTech Convention Center yang menjawat jawatan Presiden dan Taubie Motlhabane dari Cape Town International Convention Centre selaku Naib Presiden AIPC.
Pelantikan John ini seiring dengan aspirasi Malaysia dalam usaha untuk memperkukuh industri pengurusan acara perniagaan. Dengan unjuran oleh Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) yang menjangkakan 5.9 juta delegasi dan impak ekonomi sebanyak RM42.12 bilion menjelang 2030, jawatan ini menjadi landasan strategik untuk menyumbang kepada pertumbuhan pesat sektor ini.
“Ini merupakan peluang untuk mengangkat suara Malaysia di persada dunia,” ujar beliau. “Dengan bekerjasama dengan rangkaian antarabangsa AIPC, kami dapat menyumbang secara langsung kepada sasaran MyCEB sambil meningkatkan reputasi Kuala Lumpur sebagai hab mesyuarat paling dinamik di Asia.”
Untuk maklumat terkini dan berita lanjut, layari Newsroom di www.klccconventioncentre.com atau ikuti kami di media sosial (Facebook – @klccconventioncentre, LinkedIn – Kuala Lumpur Convention Centre, Twitter – @klccconvention dan Instagram – @klccconventioncentre).













