Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 kini hampir siap. Peratus pencapaian infrastruktur digital yang disasarkan untuk dibangunkan telah berjaya mencapai 99.1%.

Fokus utama Fasa 1 adalah pembangunan infrastruktur komunikasi yang lebih menyeluruh. Menurut MCMC, sasaran asal adalah untuk membangunkan 1,661 menara komunikasi baharu. Pelaksanaannya menggunakan pendekatan Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) dan perkongsian Rangkaian Akses Radio (RAN).

Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 1,646 menara telah siap dibina. Di mana 1,618 daripadanya telah mula beroperasi sepenuhnya. Pihak suruhanjaya menjangkakan baki pembinaan menara ini akan disiapkan sepenuhnya dalam suku pertama tahun 2026.

Selain infrastruktur fizikal, prestasi rangkaian turut menunjukkan peningkatan mendadak yang melepasi sasaran awal:

  • Premis diliputi rangkaian: Meningkat kepada 9.81 juta premis, melepasi sasaran 9 juta (berbanding 4.96 juta sebelum inisiatif bermula).
  • Kelajuan muat turun: Median kelajuan muat turun mudah alih kini mencecah 143.7Mbps, mengatasi jangkaan awal.
  • Liputan populasi: Liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat daripada 91.8% kepada 99.71%.

MCMC turut mengiktiraf sumbangan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) dalam penggunaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak, dan perkongsian MOCN.

Sejak Ogos lalu, setiap MNO telah mengemukakan pelan penambahbaikan rangkaian masing-masing yang dipantau oleh MCMC serta disokong oleh Garis Panduan Industri mengenai Perkongsian Infrastruktur Rangkaian.

Pencapaian JENDELA

Inisiatif JENDELA yang bermula sejak 2020 ini juga memberi tumpuan kepada tujuh kawasan utama termasuk institusi pengajian tinggi awam, kawasan pelancongan, stadium, dan lebuh raya. Antara pencapaian khusus di lokasi tumpuan termasuk:

  • Pemasangan 34,000 titik akses WiFi di 126 institusi pengajian tinggi awam.
  • Penyediaan kemudahan gentian optik di 73 kem tentera.
  • Peningkatan kapasiti rangkaian di 17 lokasi acara utama seperti Litar Sepang, Arena SPICE Pulau Pinang, dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

MCMC turut memaklumkan pemantauan terhadap pelaksanaan JENDELA akan diteruskan bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang konsisten.

Untuk Fasa 2, tumpuan akan diberikan kepada penambahbaikan kesalinghubungan di kawasan berkepadatan rendah serta koridor pengangkutan.

Tinggalkan komentar