iQOO telah melancarkan telefon pintar baharu, iQOO 15R untuk pasaran Malaysia. Peranti ini disasarkan kepada pengguna yang mahukan prestasi dan rekaan bertaraf mercu pada harga berpatutan bermula dari RM2,499.
iQOO 15R diperkenalkan sebagai varian mesra bajet kepada siri utama iQOO 15 yang telah dilancarkan sebelum ini. Dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon siri 8 Gen, peranti pintar ini dipadankan dengan RAM sebesar 12GB serta pilihan storan dalaman sehingga 512GB.
Tumpuan utamanya adalah pada pengalaman permua (mobile gaming) dan ketahanan lasak untuk penggunaan harian.
Menurut iQOO, ciri pengecasan pintas lanjutan (advanced bypass charging) yang membekalkan kuasa terus kepada sistem membolehkan peranti mengurangkan pembentukan haba, membantu mengekalkan prestasi. Ia juga dapat meningkatkan jangka hayat bateri terutamanya sewaktu senario penggunaan berbeban tinggi.
iQOO juga mengesahkan ciri Perlindungan Mata Permainan Tahap Perkakasan pada paparannya mampu mengurangkan keletihan visual semasa sesi permainan yang panjang.
Spesifikasi ringkas iQOO 15R
Berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, berikut ialah jadual spesifikasi untuk iQOO 15R:
| Ciri | Spesifikasi |
|---|---|
| Skrin Paparan | AMOLED 1.5K bersaiz 6.59 inci gadgets. |
| Kadar Segar Semula & Kecerahan | 144Hz dengan kecerahan puncak mencapai 5,000 nits |
| Cip Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Gen 5 |
| Cip Tambahan | Cip Superkomputer Q2 (Supercomputing Chip Q2) khusus untuk permainan |
| Memori (RAM) | Pilihan 8GB dan 12GB (LPDDR5X) |
| Storan Dalaman | Pilihan 256GB dan 512GB (UFS 4.1) |
| Kamera Belakang | Kamera utama 50MP (Sensor Sony LYT-700V) berserta lensa ultra-lebar 8MP |
| Kamera Hadapan | Kamera swafoto 32MP pada rekaan berpenebuk lubang (punch-hole) |
| Bateri | Bateri anod silikon berkuasa tinggi berkapasiti 7,600mAh |
| Pengecasan | Sokongan Pengecasan Kilat Berwayar 100W (100W FlashCharge) |
| Sistem Penyejukan | Sistem Penyejukan IceCore VC 6.5K |
| Sistem Operasi | OriginOS 6 (Berasaskan Android 16) |
| Ketahanan | Penarafan rintangan air dan habuk IP68 / IP69 |
| Pilihan Warna | Pixel Silver dan Dark Knight |
Ditawarkan dengan pilihan warna Pixel Silver dan Dark Knight, iQOO 15R dijual pada harga RM2,499 untuk varian 12GB+256GB. Manakala varian spesifikasi tertinggi 12GB+512GB pula berharga RM2,699.
Bersempena pelancarannya, anda yang membuat pembelian awal dari 2 hingga 8 Mac layak menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM458. Hadiah tersebut berbentuk fon telinga iQOO Buds, waranti lanjutan 1+1 tahun, serta jaminan perlindungan retak skrin selama 180 hari.
Orang ramai boleh mendapatkan peranti tersebut secara dalam talian melalui laman rasmi iQOO di aplikasi TikTok, Shopee, dan Lazada, atau secara fizikal di rangkaian Kedai Konsep vivo.















