Apple secara rasminya mengumumkan kedua-dua telefon pintarnya, iPhone 6s dan iPhone 6s Plus akan hadir ke pasaran Malaysia pada 16 Oktober, hari Jumaat bersamaan 3 Muharam 1437 H.
Pengumuman ini dibuat susulan dari kenyataan media Apple berkenaan pencapaian hasil jualan iPhone 6s dan iPhone 6s Plus yang melebihi dari 13 juta unit di negara-negara terpilih. Tarikh penjualan telefon-telefon pintar ini di pasaran Malaysia turut dimaklumkan melalui laman web rasmi Apple Malaysia.
Sehingga kini, keempat-empat penyedia telco terbesar di Malaysia Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile masih lagi belum mendedahkan pelan-pelan untuk iPhone yang baru ini. Namun, tidak mustahil ianya akan diumumkan dalam masa yang terdekat ini yang tinggal dalam lebih kurang 17 hari lagi sebelum ianya dapat diperoleh di pasaran Malaysia.
Walaupun berita ini dianggap sebagai berita baik bagi peminat-peminat Apple, pengguna di Malaysia harus sedia maklum bahawa harga yang bakal ditawarkan mungkin lebih tinggi dari apa yang ditawarkan setiap kali Apple melancarkan peranti-peranti terbarunya.
Faktor kelembapan ekonomi Malaysia dan juga kenaikan kadar inflasi mendorong turut mendorong kenaikan harga peranti-peranti elektronik di pasaran dan sudah tentu, peranti yang dianggap premium seperti iPhone 6s dan iPhone 6s Plus tidak terkecuali dari menerima kesan kenaikan. Selain dari faktor yang dinyatakan, kemerosotan nilai mata wang Ringgit berbanding Dollar Amerika Syarikat turut memberikan kesan terhadap harga peranti elektronik di pasaran Malaysia.
-Sumber info diperoleh dari Apple













