iPhone 17 kian hampir pelancarannya dengan pelbagai desas-desus mengenainya sedang rancak diperkatakan. Baru-baru terdapat maklumat tertiris yang mendakwa model Pro siri telefon pintar Apple berkenaan akan mempunyai sokongan pengecasan berbalik nirwayar, fungsi yang telah pun diperkenalkan pada peranti Android sejak tujuh tahun dahulu.
Maklumat ini telah dikongsikan oleh pengguna Fixed Focus Digital di Weibo yang mendakwa penambahan fungsi ini merupakan rekaan yang amat inovatif untuk peranti mercu siri iPhone.
Ini bukanlah kali pertama desas-desus mengenai sokongan pengecasan berbalik nirwayar pada iPhone diperkatakan. Februari lalu, sebuah lagi hantaran di Weibo turut menyatakan perkara yang sama dengan mendakwa Apple sedang menguji pengecasan berbalik nirwayar 7.5W pada telefon pintar baharu yang akan dilancarkan.
Model-model iPhone sebelum ini sudah sedia menawarkan sokongan pengecasan berbalik secara berwayar. Cuma untuk secara nirwayar sahaja yang dilihat masih lagi belum diperkenalkan walaupun sesetengah peminat menantikannya sejak dari iPhone 12.
Jika dakwaan ini benar, mungkin fungsi sokongan ini akan diperkenalkan pada iPhone 17 Pro Max sahaja atau termasuk iPhone 17 Pro. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi daripada Apple untuk mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan ini.













