Laporan terkini dari portal berita berbahasa Korea menyatakan Apple akan menempatkan komponen yang melibatkan fungsi Face ID di bawah skrin iPhone pada tahun 2024 nanti. Jika tidak digunakan kamera TrueDepth untuk Face ID berkenaan tidak kelihatan di bawah skrin nanti dan boleh memaparkan tanpa terganggu dengan kamera hadapan iPhone.
Lubang yang menempatkan kamera hadapan bagaimanapun masih lagi kekal untuk iPhone 16 Pro, menurut laporan tersebut. Namun melalui kaedah ini pengguna dapat menikmati segala apa yang dipaparkan di atas skrin tanpa sebarang gangguan dari modul kamera hadapan.
Teknologi kamera bawah skrin ini bagaimanapun masih lagi belum tersedia untuk iPhone 15 Pro yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan kesemua empat model iPhone 15 kali ini akan menawarkan Dynamic Island. Sebelum ini ciri tersebut hanya hadir pada iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max sahaja dan tidak terdapat pada dua model standardnya.
Laporan yang sama juga menambah Apple akan mula beralih ke kamera bawah panel skrin (underpanel camera, UPC) apabila pelaksanaan teknologi Face ID kamera bawah skrin berjaya dilaksanakan. Ia seterusnya akan mengubah ciri rekaan paparan bertakuk sebagaimana yang terdapat pada iPhone ketika ini.
Perkembangan ini juga selari dengan peta hala tuju yang digariskan oleh penganalisis Ross Young pada Mei 2022. Menurut beliau, Apple akan memperkenalkan satu kitaran pengenalan teknologi baharu pada model Pro terlebih dahulu sebelum mula memperkenalkannya pada model standard pada tahun berikutnya.
Based on the technical challenges remaining for under panel cameras to meet discerning brands quality requirements as well as panel manufacturers' cost requirements, I still believe this roadmap makes sense for the iPhone. pic.twitter.com/3ck5X3sVcL
— Ross Young (@DSCCRoss) May 10, 2022
Misalnya model iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max telah memperkenalkan Dynamic Island dan dijangkakan model standard iPhone keluaran pada tahun ini akan didatangkan dengan ciri tersebut. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menolak kemungkinan teknologi kamera bawah skrin pada iPhone ini akan diperkenalkan dalam dua generasi lagi.













