Pernahkah anda terfikir sejauh mana kualiti dan harga internet kita dengan negara-negara lain di dunia?
Baru-baru ini kajian Digital Quality of Life Index yang dijalankan oleh syarikat VPN berpangkalan di Belanda, Surfshark telah membuat satu kajian yang melibatkan harga dan kualiti internet di negara-negara seluruh dunia.
Kajian tersebut melibatkan sejumlah 117 buah negara dengan kira-kira 92% dari penduduk di seluruh dunia. Setiap negara diindekskan mengikut lima teras utama yang memberi kesan terhadap kualiti kehidupan digital penduduk-penduduk iaitu harga, kualiti, e-infrastruktur, e-keselamatan dan e-kerajaan.
Secara keseluruhan, kualiti kehidupan digital di Malaysia berada di kedudukan ke-38. Jatuh tujuh anak tangga dari kedudukan 31 pada tahun lepas. Dalam kategori keseluruhan Asia, Malaysia berada di tangga keenam di belakang Israel, Japan, Korea Selatan, Singapura dan Cyprus.
Dari segi kemampuan internet pula, negara kita berada di tangga kelima Asia dan ke-16 secara global. Malah, harga internet di Malaysia kini menjadi lebih murah berbanding pada tahun 2021.
Pun begitu, dari segi kualiti internet kita masih lagi agak ketinggalan dengan kedudukan di tangga ke-11 Asia dan ke-41 dunia. Dalam kategori ini, Malaysia hanya 12 peratus lebih baik dari purata global dengan kelajuan internet mudah alih jatuh ke tangga 67 di dunia dengan purata 34.5Mbps.
Kajian tersebut turut melibatkan infrastuktur elektronik, keselamatan elektronik dan kerajaan elektronik yang mana Malaysia masing-masing mencatatkan kedudukan ke-32, ke-40 dan ke-29 di dunia secara keseluruhan. Pancapaian ini agak memberangsangkan, terutamanya jika membandingkannya dengan negara-negara yang lebih matang teknologi komunikasinya.













