Pada Computex tahun lepas, Intel telah mendedahkan CPU 10 teras yang pertama Core i9-7900X untuk kegunaan pengguna biasa dan ia merupakan langkah ke arah cara pembuatan “megatasking.” Ia tentu sekali merupakan chip pemprosesan yang mahal dan ditawarkan pada harga sekitar $1,700. Namun, ia mendatangkan kepuasan buat pengguna yang inginkan melakukan pelbagai tugasan-tugasan berat dalam satu-satu masa pada sesebuah komputer.

Kini, Intel telah mengorak selangkah melalui pengenalan chip pemprosesan terbaru dalam keluarga C0re X-Series, Intel Core i9-7980XE, chip 18 teras pertama dari syarikat ini.

Pada harga $1,999, Intel Core i9-7980XE bukanlah chip sembarangan. Ia didakwa mampu mengatasi keupayaan CPU 16 teras AMD, Threadripper. Ia juga dikatakan sebagai chip Intel pertama yang menawarkan kuasa perkomputeran sehingga mencecah kiraan teraflop.

Jika 18 teras adalah terlalu mahal buat kebanyakan pengguna, Intel turut menawarkan variasi chip-chip Core i9 Extreme Edition yang lain seperti 10 teras, 12 teras, 14 teras dan juga 16 teras. Selain itu, Core i9-7900X turut mencatatkan penurunan harga apabila ia kini ditawarkan pada harga $999.

Kesemua chip-chip ini menampilkan kelajuan klok asas pada 3.3GHz dan mampu mencecah sehingga 4.3GHz kelajuan dwi-teras dengan Turbo Boost 2.0 dan 4.5GHz dengan Turbo Boost 3.0. Melengkapi keluarga X-Series ini, Intel turut menawarkan chip empat teras, i5-7640X dan juga model chip i7 dengan pilihan teras, 4, 6 dan 8.

Seperti yang dijangkakan, menambah bilangan teras ke dalam sesebuah chip pemprosesan bakal meningkatkan kadar pengeluaran habanya. Atas sebab itu, Intel telah membangunkan solusi penyejukan cecairnya sendiri dan ia bakal digunakan pada chip-chip keluaran yang terkini dan juga pada sesetengah chip generasi yang terdahulu. Kesemua chip pemprosesan Core i9 yang terbaru dan juga chip Core i7, 6 dan 8 teras menghasilkan kepanasan yang mampu mencecah pada 140W TDP.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Intel lebih menumpukan perhatian pada chip-chip laptop berbanding desktop atas sebab permintaan yang meningkat pada peranti-peranti mudah alih. Sungguhpun Intel Core i9-7980XE tidak dapat diperoleh pada kebanyakan pengguna, ia pastinya diidamkan dan ditagih oleh sebahagian kecil pengguna-pengguna yang gilakan kuasa pemprosesan CPU.

Sumber berita diperoleh dari WIRED

Tinggalkan komentar