Google bakal memasukkan fungsi persidangan video dalam taliannya, Meet ke dalam Gmail dalam beberapa minggu akan datang. Menurut laporan oleh Reuters, fungsi terbaru ini juga mampu menyediakan sehingga 16 peserta panggilan video untuk dipaparkan.
Permintaan untuk persidangan video dalam talian ini kian meningkat kebelakangan ini berikutan penularan wabak COVID-19. Akibatnya, semakin ramai warga kerja yang di seluruh dunia terpaksa melaksanakan kerja-dari-rumah.
Oleh itu, platform panggilan video seperti Zoom dan Skype telah menyaksikan peningkatan trafik dari pengguna. Kehadiran Google di dalam platform ini dijangka bakal merancakkan lagi persaingan bagi menarik minat pengguna.
Pengintegrasian Meet ke dalam platform G Suite dan GMail membolehkan pengguna untuk memula dan menyertai mesyuarat terus dari peti masuk (inbox) emel masing-masing. Google berhasrat melancarkan lagi proses kerja pengguna yang melibatkan penggunaan emel dan mesyuarat video dalam talian secara serentak.
Keutamaan pada keselamatan dan privasi pengguna memang amat diperlukan. Atas sebab itu, URL unik dan selamat untuk Meet akan dijana di dalam tetingkap pop-up pada bila-bila masa sesebuah mesyuarat perlu dihoskan dan akan dikongsikan kepada peserta mesyuarat.
Selain itu, hos mesyuarat juga membuat tetapan kod mesyuarat bagi memastikan individu-individu yang dijemput sahaja yang boleh menyertai sidang mesyuarat video.
Mesyuarat-mesyuarat juga boleh diberikan nama ringkas bagi mempercepatkan panggilan peserta ke dalam mesyuarat secara ad-hoc. Para hos juga boleh menjemput peserta tambahan sewaktu mesyuarat sedang berlangsung jika perlu.
Reuters turut menjelaskan Google sentiasa menambahbaik kualiti video di dalam Meet terutamanya dalam keadaan kurang pencahayaan.
Integrasi Meet buat masa ini sedang diluncurkan bermula dari 16 April untuk domain Rapid Release dan pada 30 April nanti untuk domain Scheduled Release. Fungsi ini hanya tersedia untuk Gmail versi web sahaja dan untuk versi mudah alih dijangka akan hadir kemudian.












